Fathul Bari
Fathul Bari
 
SHAH ALAM – Berdasarkan maklum balas baik yang diterima berhubung cadangan menjadikan majlis ulama Umno sebagai sayap parti, Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu) akan mengadakan perbincangan untuk membentangkan struktur majlis berkenaan.

Pengerusinya, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, pihaknya berpendapat kini tiba masanya untuk merealisasikan cadanganini secara serius.


“Saya amat berterima kasih dengan sokongan yang diberikan terhadap cadangan yang saya kemukakan sejak 2010 dan sekiranya diberi peluang, saya akan adakan tindakan susulan unuk mendapatkan kelulusancadangan ini.


“Kami akan berbincang mengenai struktur majlis ulama Umno dan mengadakan sesi pembentangan supaya semua pihak akan nampak dengan jelas peranan majlis ulama ini,” katanya.


Beliau berkata, tidak berlaku pertindihan peranan Biro Agama Umno dan majlis ulama kerana biro agama lebih tertumpu kepada program keagamaan dalam parti sementara majlis ulama menjadi rujukan dalam hal berkaitan politik dan agama.


Menurutnya, Biro Agama Umno boleh dinaik taraf supaya tidak berlaku kekeliruan terhadap peranan mereka dalam parti.


“Majlis ulama pula bukanlah berperanan sebagai ‘benteng pertahanan’ parti, sebaliknya mereka akan bertindak lebih agresif bagi membantu pemimpin dalam hal kebaikan.


"Apa yang baik mereka berikan pujian dan perkara tidak betul atau salah berikan teguran,” katanya.


Fathul Bari berkata, beliau yakin, cadangannya itu akan turut mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


“Alhamdulillah, ramai yang setuju termasuk pucuk pimpinan Umno sendiri, jadi, saya dan rakan-rakan dalam Ilmu akan berusaha untuk membawa cadangan ini ke peringkat seterusnya,” katanya.