Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
ANALISIS - Pas mengadakan mesyuarat Biro Politik seperti lazimnya hari ini. Bagaimanapun pertemuan kali ini dilihat akan menarik perhatian ekoran perkembangan semasa termasuk soal hukum hudud dan kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat (PR).

Turut menjadi perhatian ialah 'pertikaman lidah' antara bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa dan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh, yang mahu memulakan tindakan prosiding mahkamah.


Sebelum ini pemimpin Pas sendiri dan PKR yakin bahawa tindakan perundangan yang diperkatakan oleh Karpal tidak akan menjadi kenyataan.


Pertemuan hari ini dijadual bermula 12 tengah hari dan satu sidang media dijangka diadakan empat jam kemudian.


Pas lazimnya mengadakan mesyuarat Biro Politik sekali dalam sebulan. Ia lebih kerap diadakan di sebalik desas-desus Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Naib Presiden, Salahuddin Ayub ketika dihubungi lewat malam tadi.


"Mesyuarat esok mesyuarat Biro Politik sahaja. Kami adakan sebulan sekali. Tetapi disebabkan musim pilihan raya, ia diadakan lebih kerap... khususnya selepas sambutan Aidilfitri.


"Kami akan membincangkan sema perkara yang berkaitan, isu-isu semasa... kalau timbul isu YB Nasharudin, kami akan bincang... begitu juga isu hudud dan kerjasama DAP," kata beliau sambil menambah, tiada perkara yang khusus.


Mesyuarat penuh jawatankuasa kerja Pas Pusat akan diadakan minggu kedua bulan depan.


Ketika ditanya sama ada isu Nasharudin-Karpal akan diberi tumpuan, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, "bukan isu besar. Tetapi jika bangkit, kami akan bincang."


"Terpulang kepada mesyuarat esok," katanya lagi.


Bagaimanapun Salahuddin berkata, beliau akan memfokuskan 'suasana politik Johor' ke dalam mesyuarat hari ini.

"Melihat kepada perkembangan di Johor, di mana sokongan dilihat terus meningkat kepada Pakatan Rakyat, saya akan memfokus soal perkembangan di Johor," kata beliau yang akan bertanding di Johor pada PRU13.

"Kami akan membincangkan strategi untuk meneruskan cengkaman di Johor. Saya rasa Johor akan menentukan gelombang sokongan kepada Pakatan Rakyat, gelombang dari arah selatan, pada pilihan raya kali ini," kata beliau lagi.


Datuk Mahfuz Omar, seorang lagi Naib Presiden juga mengakui bahawa tiada isu-isu "besar" yang akan menjadi tumpuan hari ini.


Sebaliknya, kata beliau, Biro Politik akan membincangkan perkembangan berkaitan dengan PRU13.


"Tetapi saya tidak nampak akan ada keputusan sampai hendak keluar Pakatan Rakyat, tidak... tidak," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, merujuk kepada desakan beberapa pihak termasuk Nasharudin agar Pas keluar PR jika DAP terus membantah hudud.


Dalam kenyataan kepada Sinar Harian Online semalam, Mahfuz berkata, tidak timbul soal Pas perlu keluar PR hanya kerana perbezaan pendirian membabitkan kedua-dua komponen itu.


"Ini isu lama, cuma dibawa oleh pihak-pihak tertentu," kata beliau tetapi menegaskan akan dibincangkan jika ditimbulkan.


Mahfuz juga tidak menolak kemungkinan Biro Politik akan disentuh pada mesyuarat hari ini.


Mesyuarat hari ini akan turut dihadiri oleh seorang lagi Naib Presiden, Datuk Paduka Husam Musa, yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum.


Awal bulan ini Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah jawatankuasa khas berhubung bayaran tunai hasil petroleum negara.


Dua minggu lalu, PR memutuskan untuk menolak jawatankuasa itu, sebaliknya mahu royalti kepada Kelantan dibayar dengan segera.


Biro Politik Pas terdiri daripada 20 anggota. Mesyuarat biro ini lazimnya dipengerusikan oleh presiden, timbalan presiden atau naib presiden.


Pas jarang mengadakan sidang media selepas mesyuarat Biro Politik. Melainkan apabila timbul isu-isu besar dan menarik.


Seorang anggota Biro Politik yang tidak mahu namanya dipetik berkata, pertemuan perlu keluar dengan kenyataan pendirian mengenai isu semasa agar ia dapat menyusun strategi dan pendekatan berkesan menghadapi PRU13.


"Satu isu yang selalu menjadi tumpuan ialah soal agama dan kaum khususnya hukum hudud. Perkara ini bukan baru, sudah berulang kali ditimbulkan, dijadikan peluru untuk menyerang Pas.


"Jadi, Pas berada di situasi untuk menyusun strategi untuk menangani isu ini... sebab ini peluang terbaik untuk Pas memenangi PRU13," katanya mengulas kepentingan mesyuarat hari ini.


"Perkembangan di Sabah dan Sarawak juga akan menjadi fokus mesyuarat hari ini," katanya merujuk kepada siri isu yang telah mengisi arena politik negara sejak sebulan lalu.


Sebarang keputusan besar? Seorang lagi pegawai yang rapat dengan ibu pejabat Pas merumuskan begini: kemungkinan besar tidak akan ada keputusan memeranjatkan.


Pas, katanya, dijangka menegaskan semula pendirian dalam isu hudud.


"Saya tidak melihat isu 20 tahun boleh selesai dalam mesyuarat dua jam hari ini. Cara terbaik meminta semua pemimpin Pas 'tutup mulut'. Ini isu lama, semua orang tahu. Jadi, pemimpin Pas perlu tumpu pada isu lebih besar menjelang PRU," katanya yang tidak menolak isu hudud dan Nasharudin akan menjadi perhatian.