Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
 
KOTA BHARU - Pas Kelantan meminta mufti memainkan peranan dan menggunakan kedudukan mereka dalam membantu menghubungkan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan hudud di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sekarang ini, Pas sudah mempunyai kelulusan pelaksanaan hudud, cuma atas beberapa sebab, ia terpaksa ditangguhkan.


“Jika mufti boleh menjadi ‘orang tengah’ dan memberi kefahaman dan mendorong setiap pihak berusaha ke arah hudud, Pas amat hargai usaha itu.


“Untuk melakukan perbincangan, ia sebenarnya untuk apa kerana enakmen hudud di Kelantan sudah diluluskan, manakala Umno memang jelas menolak hudud,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.


Kelmarin Sinar Harian melaporkan Mufti Kelantan, Datuk Shukri Mohamad  meminta Kerajaan Pas Kelantan perlu segera berbincang dengan Kerajaan Pusat kaedah melaksanakan hukum hudud di negeri ini.


Mohd Amar berkata, sebelum ini, semasa pemerintahan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Kerajaan Kelantan pernah memaklumkan cadangan hudud kepada Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri diberi amaran melalui surat.


“Surat itu diserahkan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz yang memberi amaran, jika hudud dilaksanakan juga, Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan dan surat itu masih disimpan sampai sekarang.


“Itu antara sebab kenapa sehingga kini hudud di Kelantan tidak dilaksanakan atau dengan kata lain ia tertangguh, ia sebagai mengelak tindakan dibuat selepas surat amaran dikeluarkan ketika itu,” katanya.


Kata beliau, biarpun hudud belum dilaksanakan, namun usaha ke arah hudud dilakukan secara berterusan termasuk meraikan sambutan Hari Hudud setiap tahun pada bulan Syaaban.


Menurutnya, usaha lain untuk hudud ialah menjalankan ceramah, seminar dan forum bertujuan mengingatkan rakyat negeri ini mengenai tanggungjawab mereka dan memberi kefahaman mengenainya.


“Untuk melaksanakan hudud, ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk jabatan penjara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan hukuman ini.


“Kerajaan Negeri tidak mahu hudud dilaksanakan dengan memaksa rakyat, secara majoritinya mereka perlu faham mengenai kehendak dan tuntutannya,” katanya.