Rafizi Ramli
Rafizi Ramli selepas didakwa di bawah Bafia di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor
 
SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang didakwa di mahkamah hari ini berhubung pertuduhan mendedahkan penyata akaun projek National Feedlot Corporation (NFCorp) berkata, pihaknya akan menubuhkan pusat lindungan National Oversight & Whistle Blowers Center (Now) untuk rakyat yang bersuara demi keadilan.

"Kita memang membuat persiapan seperti pejabat, koordinator dan pendaftaran pusat, cuma kita nak pastikan semua selesai sepenuhnya, baru kita umum. Tapi dah kena tangkap tad, esok saya akan umumkan.

"Kalau ikut rancangan asal, ia akan dirasmikan pada 30 Ogos depan.

"Pusat ini bertujuan memberi perlindungan dan dana kepada 'whistle blower' agar mereka berani bersuara dan tahu bahawa mereka dilindungi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Rafizi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan mendedahkan penyata akaun NFCorp yang menimbulkan kontroversi kepada dua pengamal
media.

Rafizi, 35, didakwa mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank Bhd iaitu NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang beliau mempunyai akses, kepada Yusof Abdul Alim dan Erle Martin Carvalho di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square Jalan Tropicana Selatan Petaling Jaya pada 7 Mac lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 103 (1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kerani bank Johari Mohamad, 41, yang didakwa bersubahat dengan Rafizi pada tarikh dan di alamat yang sama, juga mengaku tidak bersalah.

Johari didakwa mengikut Seksyen 112 (1) (c) Bafia, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103 akta yang sama.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang  penjamin masing-masing ke atas kedua-dua tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kedua-dua kes pada 10 September ini dan kedua-dua kes dibicarakan serentak.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam N. Surendran.

Mengenai ikat jamin, Rafizi berkata, beliau diikat jamin kira-kira jam 3 petang oleh Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Adun Seri Setia.

Diminta mengulas mengenai ura-ura wang jaminan RM15,000 dikumpul melalui dana awam, Rafizi menjelaskan beliau belum pasti perihal itu.