Mahathir Mohamad
 
Dr Mahathir menjawab soalan hadirin program Bicara Minda Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk "Masa Depan Melayu & Islam Selepas PRU13. - Foto Sinar Harian oleh MIZAN MAT TAMIN
 
SHAH ALAM – Orang bukan Melayu juga boleh menjadi Perdana Menteri negara ini kerana tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menyekat perkara itu daripada menjadi kenyataan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Dr Mahathir berkata, sekatan itu tidak dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana beliau yakin pengasas negara ini berpendapat bahawa orang Melayu tetap kekal akan menjadi majoriti dan tidak mustahil bagi orang Melayu tidak menjadi lagi menjadi Perdana Menteri.

“Oleh kerana tidak ada sekatan, besar kemungkinan kita akan dapat Perdana Menteri bukan Melayu. Mereka sudah tentu akan berkata, mereka akan bertimbang rasa dan melakukan keadilan kepada semua kaum.

“Tetapi kita sudah ditunjukkan contoh baru-baru ini.

“DAP yang dikatakan parti berbilang kaum, bukannya hanya parti orang Cina, tetapi apabila diadakan pemilihan, mereka tidak memberi sedikitpun pertimbangan kepada kaum lain sebaliknya hampir semua yang dipilih terdiri daripada orang Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab program Bicara Minda Masa Depan Melayu, Islam Selepas PRU13, anjuran Sinar Harian di sini, hari ini.

Beliau menambah, walaupun DAP memberi kenyataan yang dibuat bahawa mereka akan bertimbang rasa, berlaku adil, dan tidak akan rasis tetapi pada hakikatnya kerana mereka berkuasa, maka kemungkinan ini berlaku akan terjadi.

Katanya, di antara orang Melayu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti dan ditakdirkan menang selain dari parti Umno, mampukan mereka memberi jaminan akan memberi pertimbangan kepada keperluan dan kepentingan Melayu.

“Kita lihat di Perak umpamanya, ada satu undang-undang yang berkata Menteri Besar (MB) mestilah terdiri daripada orang Melayu.

"Oleh kerana itu, pada tahun Pilihan Raya Umum 1969, mereka minta Pas menjadi MB  tetapi Pas menolak.

“Tetapi kali ini, pada tahun 2008, Pas bersetuju dan seorang daripada anggota Pas, Nizar (Datuk Seri Nizar Jamaluddin) tetapi MB yang duduk di bawah telunjuk orang lain. Ini kerana kalau dia tahu nasib dia bergantung kepada ‘orang itu’.

“Kalau orang itu tidak sokong, dia (Nizar) akan jatuh. Dengan itu, dia akur dengan apa yang ditunjukkan kepadanya,” dakwanya lagi.

Menurut Dr Mahathir, inilah yang akan berlaku jika orang Melayu masih lagi tidak sedar dan lebih mengutamakan perasaan benci kepada orang itu dan menuduh pihak tertentu kafir dan sebagainya.

Jelas beliau, orang Melayu akan berpecah-belah dan apabila tidak lagi berkuasa dan nasib orang Melayu tidak akan menjadi lebih baik daripada sekarang.