Agong: Perpaduan boleh dicapai jika amal wasatiyyah Yang di-Pertuan Agong dan Tuanku Hajah Haminah berkenan bergambar dengan penerima anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaaan 1434H hari ini . - Foto Bernama
Agong: Perpaduan boleh dicapai jika amal wasatiyyah Perarakan Sempena Maulidur Rasul di Masjid Solahuddin Al-Ayubbi, Kem Penrissen, Kuching membabitkan 700 pegawai kanan serta kakitangan awam ATM. - Foto Bernama
Agong: Perpaduan boleh dicapai jika amal wasatiyyah Kelihatan masyarakat India dan Cina turut sama mengambil bahagian berarak pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1434H di Taman Mahsuri di Jitra hari ini. - Foto Bernama
Agong: Perpaduan boleh dicapai jika amal wasatiyyah Pasukan berkuda Pusat Ekuin Darul Aman Park berpakaian seperti zaman Nabi berarak pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1434H di Taman Mahsuri di Jitra hari ini. - Foto Bernama
Agong: Perpaduan boleh dicapai jika amal wasatiyyah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang bersalaman dengan hadirin selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1434H/2013 Peringkat Pahang hari ini. - Foto Bernama
Agong: Perpaduan boleh dicapai jika amal wasatiyyah Sebahagian daripada umat Islam yang menyertai sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 
PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah, sekiranya pendekatan wasatiyyah dapat dihayati, maka perpaduan boleh dicapai serta kecemerlangan akan menjadi kenyataan.
Baginda juga percaya rakyat di negara ini amat memahami dan menyedari kepentingan perpaduan dalam sesebuah masyarakat dan negara.

"Perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan adalah amat penting untuk meneruskan agenda pembangunan, membina kekuatan dan mendaulatkan negara," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun 1434H di sini hari ini.

Turut berangkat hadir pada majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Sambutan bertemakan 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' itu juga turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Seri Paduka baginda turut menyeru rakyat agar bersama-sama mengekal dan memperkukuhkan perpaduan untuk membina kekuatan bagi memajukan agama, bangsa dan
negara.

"Marilah kita sama-sama menjayakan setiap usaha pembaharuan dan perubahan dengan menggunakan acuan Islam sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad S.A.W iaitu
dengan penuh kesederhanaan dan berimbang," titah baginda.

Baginda bertitah sirah Rasulullah juga menunjukkan bahawa kepelbagaian dalam masyarakat sama ada dari segi keturunan, pegangan agama, budaya dan bahasa, bukanlah satu masalah dan penghalang kepada perpaduan asalkan kesederhanaan atau pun pendekatan wasatiyyah itu dijadikan amalan dalam kehidupan.

Pada majlis itu baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Perdana Maulidur Rasul kepada bekas Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak dan bekas Mufti Negeri Sarawak Datuk Seri Anis Abot.

Terdahulu, Tuanku Muhriz bertitah bertepatan dengan tema sambutan kali ini 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' baginda berkeyakinan persefahaman dan perpaduan dalam kalangan umat Islam boleh dicapai melalui penghayatan ke atas prinsip wasatiyyah yang terkandung di dalam ajaran Islam yang suci.

"Walaupun, beta telah menitahkan tentang prinsip ini di dalam majlis yang sama tahun lepas, beta percaya penekanan ke atas kepentingan prinsip wasatiyyah perlu sentiasa dilakukan agar masyarakat benar-benar memahami keindahan prinsip ini," titah baginda.

Baginda bertitah wasatiyyah boleh diterjemahkan sebagai pendekatan sederhana yang terhasil daripada bimbingan Ilahi yang terbit daripada kefahaman terhadap panduan agama.

Namun, titah baginda ia bukan bererti kita mesti berada di tengah-tengah antara dua sikap yang ekstrem, sebaliknya prinsip wasatiyyah menuntut kita agar sentiasa merujuk kepada neraca agama dan mencari jawapan paling tepat dalam setiap persoalan.

"Justeru, marilah kita berpegang kepada firman ALLAH di dalam surah Albakarah ayat 143 yang bermaksud '... dan demikianlah kami jadikan kamu umat yang bersifat wasatiyyah'. Dan sabda baginda S.A.W yang bermaksud 'sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan yakni wasatiyyah.

"Beta juga menyeru agar kita semua kembali menghayati prinsip wasatiyyah ini dalam mengurus kehidupan dunia dan akhirat dengan tidak mengabaikan kedua-duanya dan menunaikan hak kedua-duanya mengikut keutamaan yang diajar oleh Islam.

"Dalam menegur silap dan salah serta kelemahan yang ada pada diri saudara seIslam, janganlah hingga kita menafikan ikatan akidah yang sangat tinggi nilainya di sisi ALLAH S.W.T," titah baginda.

Sementara itu, Mohamad pula berkata, soal toleransi menjadi tunjang utama bagi mencapai persefahaman sekali gus mampu membina negara ke mercu paling gemilang.

Lantaran itu, katanya umat Islam harus menjadi peneraju utama dalam mesej persefahaman dan penyatuan supaya ia kelak menjadi ikutan bukan sahaja kepada sesama ummah, bahkan kepada masyarakat lainnya.

"Sesungguhnya melalui pendekatan wasatiyyah, keutuhan perpaduan dan persaudaraan sesama kaum dan agama dapat ditingkatkan dan melalui konsep wasatiyyah ini juga dapat tingkatkan nilai kualiti kebersamaan dalam kemajmukan yang menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah secara keseluruhannya pada masa kini," katanya.


Di KOTA KINABALU, hampir 15,000 umat Islam menyertai sambutan peringkat negeri dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah Datuk RM Jasni di perkarangan Masjid Negeri di Sembulan, dekat sini.

Dalam ucapannya, Juhar menyeru semua pihak supaya tidak menyemarakkan sentimen agama dan perkauman demi mengekalkan keharmonian hidup dalam sebuah masyarakat majmuk.

Katanya perpaduan rakyat adalah kunci kejayaan yang dikecapi negara dan perpaduan yang sudah dinikmati itu perlu sama-sama dipertahankan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Salleh Said Keruak dan anggota kabinet negeri.

Sebelum itu, Juhar dan isteri mengetuai perarakan membabitkan 98 kontingen daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, swasta, sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Padang Merdeka hingga perkarangan Masjid Negeri di Sembulan.

Sementara itu, Musa dalam ucapannya berkata kejayaan Nabi Muhammad S.A.W dalam mentadbir negara Islam Madinah menerusi penghayatan amalan kesederhanaan seharusnya dibudayakan secara menyeluruh dalam kehidupan seharian termasuk dalam pentadbiran kerajaan di semua peringkat.

Ketua Menteri berkata rakyat harus bersyukur kerana Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa peka dan sedar dengan ancaman pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat dengan memperkenalkan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dalam pentabdiran.

"Sesungguhnya ini jelas membuktikan kesungguhan, keikhlasan dan komitmen berterusan kita, khususnya Perdana Menteri dalam usaha dan perjuangan menjamin keamanan dan kesejahteraan umat Islam sejagat," katanya.

Pada majlis itu, bekas Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Abdul Ghani Rashid dan tokoh wanita Dr Hajah Anang Langka Mat Kassim diumumkan pemenang Anugerah Maulidur Rasul dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000, sijil dan hadiah iringan.


Di KUCHING, sambutan diadakan di dua lokasi berbeza iaitu di Masjid Al Muhajirin, Taman Matang Jaya dan di Masjid Solahuddin Al-Ayubbi, Kem Penrissen, membabitkan 700 pegawai kanan dan anggota lain-lain pangkat serta kakitangan awam Angkatan Tentera Malaysia.

Sambutan dimulakan dengan perarakan sejauh satu kilometer di dalam kawasan kem, disertai kontinjen naungan Divisyen Pertama Infantri Malaysia dan Briged Ke-3 Infantri Malaysia kawasan Kuching diketuai Pemangku Ketua Staf 1 Divisyen, Lt Kol Mustaffa Othman.


Di KUANTAN, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dalam titahnya mengingatkan umat Islam supaya tidak sesekali menggadaikan kemuliaan agama Islam demi mahu menjaga perasaan pihak atau individu tertentu.

Baginda bertitah walaupun Islam membenarkan sikap toleransi dalam urusan kehidupan umatnya, namun permuafakatan tersebut perlu bersandarkan petunjuk yang telah diberikan oleh Rasulullah S.A.W.

"Setiap anggota masyarakat perlulah bertanggungjawab membela agama mereka yang merupakan tembok perpaduan dan kesatuan ummah di antara kita kerana ia dituntut dalam Islam," titah baginda pada majlis sambutan yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Turut berangkat Sultanah Pahang Sultanah Kalsom dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Selain itu, majlis yang disertai lebih 3,000 orang itu turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Wan Mohamad Razali Wan Mahusin dan Setiausaha kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.


Di GEORGE TOWN, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas hadir menyampaikan anugerah kepada tokoh Maulidur Rasul dan tiga tokoh yang berjaya dalam bidang masing-masing pada sambutan peringkat negeri bertemakan 'Qudwatur Ar-Rasul Membentuk Keperibadian Unggul'.

Dalam ucapannya Abdul Rahman berharap sambutan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun itu dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan umat Islam bukan sahaja di Pulau Pinang, malah di seluruh negara. 

Beliau berkata usaha untuk mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam merupakan satu penzahiran tanda kecintaan terhadap Rasulullah Nabi Muhammad S.A.W yang membawa pelbagai nikmat kehidupan kepada umatnya.

Pada majlis itu, Soid@ Shuib Mohd Amin, 68, seorang pesara kerajaan dan aktif di dalam pertubuhan bukan kerajaan diumumkan sebagai tokoh Maulidur Rasul dan menerima wang tunai RM5,000, sijil penghargaan dan piala iringan.

Di SUNGKAI, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bersama-sama Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda di sini.
  
Turut serta Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli serta Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.
 
Raja Dr Nazrin Shah turut berkenan menyampaikan tujuh anugerah antaranya Tokoh Keluarga Mithali kepada Danyal Ghazali, 70, dan Tokoh Pendakwah kepada Dr
Anand Shah, 51.
 
Di POKOK SENA, anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah mengingatkan umat Islam di Kedah supaya
menguatkan iman dan melawan godaan nafsu untuk memperoleh keredaan Allah S.W.T.
 
Menurutnya kekuatan iman akan mendorong orang Islam menebus kembali maruah dan prestasi bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapi Islam pada zaman keagungannya.
 
Pada majlis sambutan peringkat negeri yang diadakan di Masjid Felda Bukit Tembaga di sini, Setiausaha Zakat Negeri Kedah Datuk Syeikh Ghazali Yaakob Hashim Salleh dan Mashitah Abdul Aziz dianugerahkan tokoh Maulidur Rasul atas sumbangan dalam bidang masing-masing.
  
Di BESUT, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut mempunyai cara lain menyambut Maulidur Rasul dengan mengadakan lawatan ke 25 rumah penduduk sekitar kampung bagi mengeratkan hubungan silaturahim dengan penduduk setempat.
  
Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata walaupun hari ini merupakan hari cuti tetapi mereka berjaya menghimpun 40 pegawai dan anggota daripada empat balai polis bagi mengadakan lawatan ke kampung terpilih seawal 9 pagi hinggalah petang tadi.
  
"Dengan diketuai seorang pegawai dan kira-kira 10 anggota, mereka mengadakan lawatan dari rumah ke rumah penduduk sambil menyampaikan risalah serta berselawat di samping mengambil catatan tentang permasalahan yang dihadapi penduduk," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
  
Di KUALA LUMPUR, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata sambutan Maulidur Rasul perlu disambut dengan semangat perpaduan bagi mengekalkan keamanan dan kemakmuran demi kesejahteraan generasi pada masa akan datang.
 
"Pengukuhan persefahaman sangat perlu pada masa kini untuk menepis segala elemen-elemen yang tidak bertanggungjawab yang cuba memecah-belahkan perpaduan di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan sumbangan naskhah al-Quran sempena sambutan Maulidur Rasul 1434/2013 di Surau Al-Hijrah PPR Pantai Ria di sini hari ini.
  
Pada majlis itu, beliau menyampaikan 2,500 naskhah al-Quran kepada masjid, surau dan sekolah di kawasan Lembah Pantai yang disumbangkan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Prihatin Selangor (MASYAR).
  
Di SHAH ALAM, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Marzuki Husin meminta masyarakat Islam hari ini menjadikan instrumen dakwah sebagai satu teras hidup, agar usaha mengembangkan dan menegakkan syiar Islam dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
 
"Lantaran itu masyarakat hari ini perlu sedar, dakwah merupakan tangungjawab semua pihak dan bukan hanya terletak di bahu institusi agama semata-mata," katanya ketika berucap di majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Selangor di sini.   
 
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan berangkat ke perhimpunan itu yang diadakan di Stadium Tertutup Malawati.
 
Sebelum itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengetuai perarakan disertai 4,720 peserta membabitkan 118 kontinjen di perkarangan stadium berkenaan.
  
Pada majlis itu, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Datuk Abdul Aziz Andik Achok, 78, dipilih sebagai penerima Anugerah Umar Abdul Aziz, yang menerima wang tunai RM15,000, piala iringan, sijil penghargaan dan sepersalinan pakaian daripada Sultan Selangor.
  
Di TAWAU, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan mengajak umat Islam untuk menjadikan Maulidur Rasul yang disambut setiap tahun sebagai wadah untuk melakukan transformasi berterusan demi kemajuan umat.
  
Tawfiq yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas dalam ucapannya berkata melalui sambutan Maulidur Rasul umat Islam berpeluang memperingati pelbagai sejarah kegemilangan dan pencapaian umat Islam terdahulu untuk diteladani setiap umat Islam.
  
Tawfiq beserta beberapa kenamaan termasuk anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh bersama kira-kira 6,000 umat Islam berarak sejauh satu kilometer dari perkarangan pejabat Majlis Perbandaran Tawau ke Dewan Masyarakat Tawau.

Di BETONG (Sarawak), hampir 5,000 umat Islam menyertai sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri Toh Puan Norkiah.
  
Yang Dipertua Negeri turut mengetuai perarakan disertai 120 kontinjen dari Kompleks Sukan Betong dan berakhir di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini.
  
Turut hadir Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, dan Menteri Muda Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman. - Bernama