Laporan Khas Saman Politik Laporan Khas Saman Politik
 
SHAH ALAM -  Pengamal undang-undang, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan jumlah kes saman menyaman ahli politik semakin meningkat sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).
Menurutnya, ini berdasarkan pengalamannya sendiri mengendalikan pelbagai kes libat ahli politik sejak 2008.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan individu hanya fikirkan kepentingan politik apabila mengambil tindakan saman berbanding untuk mendapatkan keadilan.

“Setiap orang ada hak untuk pertahan kebenaran, tetapi saya tidak lihat itu tujuan utama ahli politik yang mengambil tindakan saman. Sebaliknya, mereka lebih fikirkan kepentingan diri dan politik.

“Dalam hal ini, mereka salah gunakan mahkamah apabila anggap saman satu-satunya jalan untuk selesaikan masalah,” katanya.

Katanya, bukannya tiada alternatif lain untuk menyelesaikan masalah seperti bersemuka dan berbincang.

Namun, ingin menonjolkan diri menjadi punca ahli politik lebih gemar mengambil tindakan saman berbanding menyelesaikannya di luar mahkamah.

“Bagaimana hendak berjumpa jika masing-masing ego dan enggan bertegur sapa dengan musuh politik mereka. Sebab itu, mereka lebih rela membawa kes ke mahkamah.

“Apatah lagi orang dalam politik ini suka menjadi bahan perbualan masyarakat. Apabila mereka menang kes saman, dapat menaikkan imej mereka di mata masyarakat,” katanya.

Menurutnya, sekiranya dibiarkan berterusan, situasi ini hanya akan melambatkan lagi kelancaran proses mahkamah.

“Semakin ramai orang yang saman menyaman bermakna kes di mahkamah juga semakin bertambah. Sedangkan ada kes yang berpunca daripada isu kecil saja.

"Jika dibiarkan berlarutan, saman bukannya membantu menyelesaikan tapi hanya menambahkan bilangan kes di mahkamah," katanya.