4/05/13
Anuar nafi keluar Pas, masuk Umno
SEREMBAN – Bekas Timbalan Pesuruhjaya
Jaya Pas III Negeri Sembilan, Anuar Azahari menafikan dakwaan beliau
keluar dari parti itu dan menyertai Umno.
Beliau berkata, berita yang tersebar
termasuk menerusi laman sosial bahawa dia sudah menyerahkan borang
keahlian Umno, hanyalah khabar angin dan tidak pernah berlaku.
“Itu adalah fitnah dan saya tidak pernah
terfikir melakukan sedemikian kerana saya adalah ahli setia Pas. Tidak
mungkin saya akan mengambil tindakan keluar daripada Pas dan masuk
Umno," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Ketika ditanya mengenai majlis ceramah
BN yang berlangsung di halaman rumahnya di kampung Pulau, Labu, malam
kelmarin, beliau menjelaskan, program tersebut tiada kaitan dengannya,
sebaliknya ia merupakan rumah anak perempuannya yang juga merupakan
petugas BN di Dun Labu.
“Sepanjang ceramah itu berlangsung, saya tiada di rumah. Saya sendiri tidak tahu apa berlaku di ceramah tersebut.
“Walaupun Datuk Hasim (calon BN Labu) itu adalah anak saudara saya, itu tidak bermakna saya akan menyokong BN," katanya.
Bagaimanapun, Anuar berkata, selepas
hari penamaan calon diumumkan 20 April lalu, beliau membuat keputusan
melepaskan semua jawatan termasuk sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan
Rasah serta memaklumkan kepada pimpinan negeri menerusi e-mel.
“Saya hanya meletakkan semua jawatan
dipegang sebelum ini kerana beranggapan pimpinan negeri tidak
mengamalkan cara demokratik yang sewajarnya dalam soal pemilihan calon.
"Buat apa saya memegang jawatan sebagai
YDP Pas Kawasan Rasah atau Timbalan Pesuruhjaya III sekiranya saya
sendiri tidak dapat menjalankan tanggungjawab sepatutnya. Lebih baik
saya letak jawatan dari saya sendiri mendapat malu,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Pas negeri,
Mohd Hasan Thamby berkata, Pas negeri masih belum menerima surat yang
diserahkan sendiri Anuar berhubung peletakan jawatannya itu.
Menurutnya, pada peringkat awal, Anuar ada menyatakan hasrat melepaskan semua jawatan kerana mahu berehat.
"Bagaimanapun, keputusan mengenai perkara tersebut akan dibincangkan selepas pilihan raya nanti," katanya.- SH
0 orang berkata:
Post a Comment