KHALED NORDIN
Datuk Seri Mohd Khaled Nordin
 
JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membidas kenyataan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mengkritik MCA kerana membenarkan wakilnya menjawat dalam Exco Kerajaan Negeri Johor.

Menurutnya, pelantikan Adun Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong selaku exco bukan kerana patuh kepada Umno, sebaliknya akur kepada titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.


“Konsep kita ialah konsep kerjasama dan muafakat. Bukan soal subservient (patuh) dan sebagainya, tetapi konsep kerjasama dan muafakat.


“Dan apa yang MCA patuh adalah kepada tuanku dan bukannya kepada Umno. Penerimaan jawatan itu adalah menghormati titah tuanku bukannya Umno. Apa sahaja kita buat pembangkang akan perlekehkan. Jadi kita tak heran bila dia cakap begitu,” katanya kepada pemberita selepas Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2013 di Pusat Islam Iskandar, di sini semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Koo Ham menerusi laman sosial Twitter yang mendakwa MCA tidak berpendirian kerana sebelum ini tunduk kepada Umno dan kini kepada Sultan Johor khususnya melibatkan soal penerimaan jawatan Exco Kerajaan Negeri Johor oleh Siew Kiong.


Selain itu, Mohamed Khaled turut mengucapkan tahniah kepada barisan Kabinet Kerajaan Persekutuan yang baru dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas pemilihan ramai ahli parlimen Johor.


“Tahniah kepada semua dan terima kasih kepada perdana menteri kerana telah beri tanggungjawab serta mengiktiraf ramai wakil-wakil rakyat Johor untuk bersama-sama dalam kabinet untuk penggal ini.


“Saya percaya wakil-wakil rakyat dari Johor tidak akan sia-siakan keyakinan perdana menteri dan mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyumbang kepada proses mentransformasikan negara,” katanya.