Gaji naik 3 kali ganda tidak wajar - PAS Sarawak
12 Rejab 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily, | 22 Mei 2013 |
MIRI: PAS Sarawak mempertikaikan kenaikan gaji mendadak
pemimpin kerajaan negeri Sarawak sebagaimana yang diluluskan oleh Dewan
Undangan Sarawak kelmarin.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee dalam kenyataannya
berkata, kenaikan itu tidak wajar kerana kehidupan rakyat sarawak sangat
dhaif dan di bawah taraf kemiskinan sedangkan pendapatan mereka sangat
tinggi.
"Pendapatan ketua menteri dan timbalan ketua menteri serta
menteri-menteri yang dilantik sudah cukup mewah daripada kenaikan gaji
baru tersebut," kata Jofri dalam kenyataannya.
Gaji ketua menteri Sarawak, timbalan ketua menteri, menteri-menteri
serta wakil rakyat dan mereka yang dilantik dalam kabinet Sarawak
meningkat lebih dari tiga kali ganda mula 1 Januari 2012.
Kenaikan gaji kali terakhir untuk kabinet Sarawak dalam pindaan gaji dibuat ialah pada 1992.
Gaji Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud naik dari RM13,000 ke RM39,000 sebulan iaitu kenaikan tiga kali ganda.
"Kalau dilihat daripada kehidupan seharian mereka jelas mereka hidup
dalam keadaan mewah serta mampu memiliki asset yang lebih daripada hasil
gaji yang mereka terima selama ini.
"Kita mahu setiap wakil rakyat termasuk ketua menteri dan keseluruhan
anggota kabinet mengisytiharkan harta masing-masing untuk membuktikan
yang mereka ini bebas dari menerima rasuah atau memiliki hasil dari
sumber yang lain selain dari gaji yang mereka terima," kata Jofri (gambar kanan)dalam kenyataannya.
Sepatutnya kerajaan BN Sarawak memberi tumpuan kepada nasib rakyat
Sarawak yang masih mundur dan hidup dalam kemiskinan dari menaikkan gaji
ketua menteri dan menteri-menteri yang berlipat kali ganda daripada
hasil pendapatan rakyat yang masih dibawah taraf kemiskinan, katanya.
"Kita mencadangkan, adalah lebih baik memberi peruntukkan kepada setiap
DUN (Dewan Undangan Negeri) tanpa mengira parti politik mana yang
dipilih rakyat daripada menaikkan gaji ketua menteri dan timbalan ketua
menteri serta menteri-menteri yang dilantik kecuali wakil rakyat yang
dipilih," cadang Jofrie.
Katanya, untuk wakil rakyat yang dipilih terutama sekali wakil rakyat
pembangkang perlu kenaikan gaji sebab mereka tidak diberi peruntukan
yang sama seperti wakil rakyat BN.
Dengan adanya peruntukan tersebut wakil rakyat di setiap DUN dapat
memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat setempat dan dengan ini
akan dapat membantu menaiktaraf kehidupan penduduk dalam kawasan DUN
tersebut.
"Kita mengesa kerajaan BN Sarawak bersikap adil kepada semua wakil
rakyat yang dipilih tanpa mengira fahaman politik dengan memberi
peruntukan yang sama seperti wakil rakyat BN," tambah beliau.
Tambahnya lagi, setiap peruntukan yang diberi kepada setiap wakil rakyat
akan dipantau oleh badan odit yang bebas dari cengkaman politik agar
ianya dapat membantu melincinkan pentadbiran negeri dari unsur-unsur
salahguna kuasa dan rasuah.
Dengan adanya peruntukan tersebut, rakyat yang akan menikmati hasil bukannya hanya ketua menteri dan anggota dewan negeri saja.
"Kita harap perkara ini mendapat perhatian dan pertimbangan yang
sewajarnya dari kerajaan negeri Sarawak demi kesejahteraan rakyat semua
tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik," katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment