Lebih ramai ‘Adam Adli’ akan muncul selagi pilihan raya tidak bersih, kata pemimpin muda Pakatan
KUALA LUMPUR, 21 Mei — Penangkapan aktivis mahasiswa Adam Adli
Abdul Halim dibawah Akta Hasutan adalah disebabkan kerajaan Barisan
Nasional (BN) takut dengan kebangkitan rakyat menentang keputusan
Pilihan raya 2013, kata pemimpin pemuda Pakatan Rakyat (PR).
Ketua Pemuda ketiga-tiga parti komponen PR daripada PAS, PKR dan DAP
menegaskan, penentang keputusan pilihan raya lalu bukan hanya
semata-mata Adam Adli, sebaliknya terdapat lebih ramai yang menyokong
beliau demi mahukan keputusan pilihan raya yang bersih.
“Selagi pilihan raya yang bersih dan adil tidak dikembalikan kepada
rakyat, maka lebih banyak Adam Adli akan bangkit dan lawan tetap lawan
demi negara Malaysia!” kata kenyataan berkenaan yang dikeluarkan bersama
Ketua Dewan Pemuda PAS, dan ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan
Tantawi; Ketua Pemuda Sosialis DAP Teo Kok Seong yang juga ahli Parlimen
Rasah; dan Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin yang
juga ahli Parlimen Bukit Katil.
“BN harus diingatkan bahawa bukan sahaja Adam Adli seorang sahaja
yang menentang pilihan raya yang kotor, malah beliau akan disokong oleh
rakyat jelata yang menginginkan pilihan raya yang bersih dan adil,” kata
mereka lagi.
Adam Adli telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 pada Sabtu lalu.
Beliau dikatakan telah menghasut rakyat supaya turun ke jalanan bagi
membantah keputusan pilihan raya dalam satu forum anjuran Suara Anak
Muda Malaysia (SAMM) pada 13 Mei di Dewan Himpunan Cina Selangor Kuala
Lumpur (KLSCH).
Pimpinan Pemuda PR itu juga turut menyeru supaya BN menghentikan
segala taktik dan tindakan kotor yang menindas rakyat dan membebaskan
Adam Adli yang hanya melaksanakan haknya untuk bersuara.
“BN diingatkan untuk menepati janjinya dengan menghapuskan Akta
Hasutan dan kesemua akta zalim yang sedia ada ... hak perlembagaan
rakyat harus dibela dan bukannya dizalimi,” kata mereka.
Khairy Jamaluddin, selaku Menteri Belia dan Sukan tegas mereka harus
mempertahankan dan membela hak perlembagaan Adam Adli sekiranya beliau
memang berniat untuk memenuhi aspirasi anak muda.
“Sesungguhnya Barisan Nasional adalah pihak yang telah menjejaskan
demokrasi berparlimen dan bukannya Adam Adli,” tegas mereka lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment