Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
PETALING JAYA - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyatakan pandangannya yang tidak bersetuju dengan hasrat pihak tertentu mahu menggunakan jalan raya untuk menggulingkan kerajaan.

Bagaimanapun katanya, bagi mengelakkan perkara itu berlaku, kerajaan tidak boleh menggunakan kekerasan sebaliknya perlu menyelesaikan perkara tersebut dengan mengembalikan kepercayaan kepada rakyat.

“PR tidak terlibat (dengan cara ini), tapi secara peribadi saya kurang setuju untuk gulingkan kerajaan menggunakan jalan raya.

“Tapi kita faham, sebab apa ada rakyat yang berkeras mahu guna jalan raya kerana mereka tidak percaya dengan pilihan raya di negara kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, disarankan tidak menggunakan tindak balas kekerasan kerana ia hanya akan menambahkan kemelut yang melanda rakyat.

“Orang muda yang tidak percaya dengan pilihan raya akan percaya dengan jalan raya, mereka lakukan kerana tidak percaya dengan SPR. Mereka meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada SPR, tapi apabila dilihat SPR tidak mampu memberikan kerjasama untuk siasat secara bersih, mereka terpaksa memilih untuk ke jalan raya.

“Ini masanya kerajaan jalankan siasatan bersih untuk kembalikan kepercayaan rakyat. Rakyat bukan berminat untuk guna kekerasan, tapi sudah hilang keyakinan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan kumpulan aktivis termasuk mahasiswa yang dilaporkan menggesa orang ramai turun ke jalan raya bagi membantah penipuan yang didakwa berlaku dalam pilihan raya 5 Mei lalu.

Aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim yang dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 124(b) Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 4 Akta Hasutan.

Menurut peguam mewakilinya, Eric Paulsen memberitahu bahawa Adam disiasat kerana terlibat dalam perbuatan menjejaskan Demokrasi Berparlimen yang merupakan satu jenayah mengikut pindaan Kanun Keseksaan yang dikuatkuasa akhir tahun lalu.