13 September, 2013
Bekas Pegawai Tinggi Polis Sahkan Adegan Kencing Depan Rumah MB Hanya Rekaan
Bekas pegawai atasan polis, Tan Sri Yuen Yuet Leng mengesahkan bahawa
insiden kencing di depan kediaman Menteri Besar Selangor pada 13 Mei
1969 itu adalah rekaan semata-mata.
Malah, kata Lim Kit Siang, Yuen mengatakan bahawa kalau memang ada orang
yang berani berbuat demikian, tidak mungkin dia dapat meninggalkan
kediaman Menteri Besar Selangor dalam keadaan bernyawa.
Demikian kata Penasihat DAP Kebangsaan itu dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.
Saya berterima kasih kepada bekas pegawai atasan polis Tan Sri Yuen Yuet
Leng atas dua catatan beliau terhadap kenyataan blog saya kelmarin:
“Yuen Yuet Leng is wrong – as the 1969 general election result was a
greater blow to the MCP although it was a set back for the Alliance”.
Saya telah meluahkan bantahan saya terhadap laporan yang diterbitkan
dalam akhbar Sun berjudul “’Communists helped opposition win seats’ in
1969” yang memetik Yuen sebagai berkata bahawa “komunis telah membantu
parti-parti pembangkang, termasuk DAP, untuk memenangi sejumlah besar
kerusi dalam pilihanraya tahun 1969.”
Saya telah menyebut bahawa dakwaan Yuen tentang komunis yang telah
membantu pembangkang memenangi kerusi dalam pilihanraya umum 1969 itu
suatu perkara baru bagi saya dan ia bertentangan dengan apa yang
sebenarnya telah berlaku menjelang pilihanraya umum 1969 dan
kajian-kajian serta bertentangan dengan hasil kajian para sarjana ke
atas pilihanraya umum tersebut.
Ini kerana ketika itu komunis menyeru rakyat supaya memboikot
pilihanraya umum 1969, manakala parti-parti pembangkang yang ikut-serta
dalam pilihanraya tersebut telah dikecam oleh puak komunis sebagai
“juak” dan “boneka” Perikatan kerana tidak menyambut seruan mereka untuk
“menghancurkan jalan berparlimen” dan memilih “pergelutan massa.”
Tetapi kempen komunis yang menyeru pengundi memboikot pilihanraya tahun
1969 itu gagal kerana peratusan keluar mengundi tetap tinggi, iaitu pada
kadar 72%. Meski pun angka ini lebih rendah daripada kadar keluar
mengundi sebanyak 79% yang dicatatkan pada pilihanraya umum tahun 1964
dan 73% pada tahun 1959, ia lebih tinggi daripada peratusan keluar
mengundi sebanyak 70% pada pilihanraya umum tahun 1986 dan 71% pada
tahun 1999.
Atas sebab itulah dalam tulisan saya sewaktu berada dalam tahanan ISA
pada tahun 1969 dan dalam ucapan-ucapan yang saya sampaikan sejurus
setelah pembebasan saya pada tahun 1970, saya telah menyatakan keluhan
kerana kita terlepas peluang besar untuk memartabatkan perjuangan
demokrasi di negara ini.
Sebagai contoh, dalam ucapan di Pulau Pinang pada 22 November 1970,
bersempena pembebasan saya daripada tahanan, saya telah menyebut:
• “Pilihanraya umum 10 Mei 1969 adalah mercu tanda demokrasi di
Malaysia” yang telah “dihancurkan oleh keganasan dan pertumpahan darah”
rusuhan 13 Mei 1969.
• Bahawa walaupun Perikatan telah kecewa besar, pihak yang paling
teruk menanggung kekalahan berikutan pilihanraya umum 10 Mei itu adalah
mereka yang giat berkempen menyeru orang ramai untuk memboikot
pilihanraya umum atas alasan “demokrasi di Malaysia adalah palsu dan
satu helah untuk memperdayakan rakyat.”
• Bahawa 10 Mei 1969 adalah perisytiharan oleh rakyat Malaysia
bahawa mereka lebih memilih proses demokratik daripada kaedah-kaedah
perjuangan politik yang tidak demokratik, dan bahawa untuk membawa
perubahan sosial, ekonomi, dan politik yang mereka kehendaki, mereka
lebih memilih penggunaan akal di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
daripada penggunaan kekerasan dan keganasan.
Yuen dan saya (beliau dalam Cawangan Khas dan saya dalam DAP) mungkin
tidak akan bersetuju tentang semua perkara yang berlaku 44 tahun yang
lalu, kerana kami mempunyai sudut pandang yang amat berlainan tentang
latar politik di tahun 1969, namun kami tidak saling meragui integriti
dan semangat patriotik masing-masing.
Kerana itu sesuatu yang jijik, jelik, dan melampau apabila sebahagian
juru propaganda dan cybertrooper Umno/BN mempergunakan laporan akhbar
Sun itu untuk menyatakan secara tersirat bahawa saya adalah seorang
komunis!
Semoga rakyat Malaysia belajar daripada tragedi di masa lalu, termasuk
rusuhan kaum 13 Mei 1969, untuk tidak menuding jari menuduh sesiapa saja
sebagai dalang kerana 44 tahun telah berlalu. Sebaliknya sampai masa
untuk negara ini mengetahui perkara yang sebenarnya terjadi di masa lalu
untuk membolehkan kita membina negara Malaysia yang bersatu-padu,
harmoni, adil, dan makmur untuk semua bangsa Malaysia.
Kebelakangan ini, banyak pembohongan dan kepalsuan telah disebarkan
tentang rusuhan kaum 13 Mei 1969, antaranya menuduh saya sebagai
pencetus rusuhan kerana melaungkan slogan-slogan anti-Melayu dalam
perarakan di jalanan Kuala Lumpur selepas pilihanraya umum 10 Mei 1969,
sedangkan saya tidak berada di Kuala Lumpur ketika itu, selain
pembohongan tentang insiden “kencing”.
Baru tadi saya bertanya kepada bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas
tersebut menerusi telefon sama ada beliau pernah mendengar tentang
insiden “kencing” pada tiang bendera di depan kediaman Menteri Besar
Selangor, memandangkan beliau bertugas di Kuala Lumpur di hari-hari
hitam 13 Mei 1969 dan kerana beliau sendiri mengakui dalam
autobiografinya, Nation Before Self, bahawa “Saya bangga bertugas
sebagai anggota polis pada 13 Mei 1969”.
Yuen bukan sekadar mengesahkan bahawa insiden kencing di depan kediaman
Menteri Besar Selangor pada 13 Mei 1969 itu adalah rekaan semata-mata,
malah beliau mengatakan bahawa kalau memang ada orang yang berani
berbuat demikian, tidak mungkin dia dapat meninggalkan kediaman Menteri
Besar Selangor dalam keadaan bernyawa! ~harakahdaily



0 orang berkata:
Post a Comment