• Mukhriz Mahathir Mukhriz Mahathir
1 / 1
ALOR SETAR - BN Kedah, dilihat sebagai parti ‘underdog’ dalam menghadapi PRK Dun Sungai Limau yang akan berlangsung selepas  kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September lalu.
Mengakui hakikat itu, Pengerusinya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Dun Sungai Limau sememangnya kubu kuat Pas yang dipegang oleh Allahyarham bekas menteri besar itu sebagai Adun sejak 1995.

Mukhriz berkata, memandangkan hubungan peribadi yang baik dan menghormati Allahyarham Ustaz Azizan, beliau berharap tidak akan wujud sentimen politik sempena PRK itu nanti.

“Kita mengakui hakikat bahawa Dun Sungai Limau  kubu kuat Pas, oleh kerana ini bagi pihak kita hubungan peribadi dengan arwah begitu baik, jadi kita pun dalam keadaan serba salah dengan PRK ini. Bagaimanapun kita akan melaluinya seperti biasa.

“Justeru, memandangkan hubungan yang begitu akrab yang  kita pupuk bersama dengan arwah Ustaz Azizan sebelum ini, kita harap tidak timbul sebarang pertembungan ideologi antara parti-parti politik,” katanya kepada media, di sini, malam semalam.

Menurut Mukhriz lagi, majoriti yang dimenangi Pas pada pilihan raya lalu bukanlah angka yang kecil dan satu perkara yang terpaksa diterima.

“Kita faham di Sungai Limau BN adalah underdog, jadi kita kena lebih berusaha kuat  untuk meyakinkan pengundi untuk memberi mandat semula kepada BN, " katanya.