1 / 1
GEORGETOWN - Bekas timbalan ketua menteri, Datuk Abdul Rashid Abdullah digantung keahlian Umno dan terlucut kelayakan untuk bertanding jawatan ketua bahagian Nibong Tebal dalam pemilihan yang akan berlangsung bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Pulau Pinang, Datuk Daud Taha berkata, antara alasannya ialah Abdul Rashid didakwa belot dan mensabotaj parti pada masa PRU13.

Surat penggantungan keahlian dikeluarkan oleh jawatankuasa disiplin Umno bertarikh 20 September lalu dan diterimanya sehari selepas itu.

"Dengan ini, beliau tidak layak bertanding untuk apa-apa jawatan dalam Umno.

"Mengikut peraturan, ahli yang digantung tidak boleh memilih dan tidak boleh dipilih dalam pertandingan parti," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Pulau Pinang, Zabariah Wahab.

Beliau berkata, enam ahli Umno Bahagian Tasek Gelugor termasuk timbalan ketuanya yang juga bekas Adun Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed turut digantung atas alasan yang sama.

Jasmin bertanding jawatan ketua bahagian menentang penyandang, Shabudin Yahya.

Ahli lain yang digantung ialah Dr Md Rozi Yusof yang bertanding timbalan ketua bahagian, Salmah Ahmad (naib ketua Wanita Umno), Asmidy Mohamad dan Rahim Che Noor (ahli jawatankuasa bahagian) serta Mahamad Tahir Yusof (pengerusi tetap bahagian).

"Ini bermakna kesemuanya hilang kelayakan dan tidak boleh bertanding apa-apa jawatan dalam Umno," katanya.

Bagaimanapun, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa disiplin untuk pertimbangan.