• Jamil Khir Baharom Datuk Seri Jamil Khir Baharom
1 / 1
KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan sebanyak 139 kes melibatkan fahaman Syiah sedang di dalam pemerhatian.

Menurutnya, kerajaan sentiasa serius dan peka terhadap penyebaran fahaman ini yang menyeleweng daripada akidah dan akhlak yang telah difatwakan.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut membuat pemeriksaan terhadap 120 kes yang melibatkan fahaman tersebut.

"Sukar untuk menentukan pengikut Syiah sebenar walaupun Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ada membuat anggaran terdapat sebanyak 1500 orang.

"Jakim mendapati kebanyakan pengikut fahaman ini terdiri daripada pelbagai latar belakang dan masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa," katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Jamil berkata demikian ketika menjawab soalan Zainudin Ismail (BN-Jelebu) yang ingin tahu siapakah pihak terlibat dalam fahaman Syiah dan apakah tindakan kerajaan membendung penularan itu.

Jamil berkata, kerajaan peka dan memandang serius terhadap doktrin yang menyeleweng dari Ahli Sunah wal Jamaah.

Tambah beliau, apa juga penyebaran fahaman yang menyeleweng samada di institut pengajian tinggi (IPT) dan di sekolah-sekolah, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan kerjasama dengan jabatan agama Islam negeri bagi mendapatkan maklumat berkenanaan individu dan pergerakan Syiah tersebut.

Pada Mei 1996, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah bersetuju bahawa umat Islam hanya berpegang pada ajaran Ahli Sunah wal Jamaah dari segi akidah mahupun akhlak.

"Agama lain dari pegangang Ahli Sunah wal Jamaah adalah dilarang. Keputusan itu telah disusuli dengan tindakan 14 buah negeri mewartakan larangan itu," katanya.

Walaupun Kelantan, Sarawak dan Sabah tidak mewartakannya, negeri-negeri ini mempunyai peruntukkan tersendiri untuk mengekang ajaran Syiah.

Menurut Jamil, sukar untuk menentukan jumlah sebenar pengikut Syiah kerana mereka bergerak secara sulit.

"Jumlah itu tidak termasuk warga asing dan pelajar luar yang. Tinggal di negara ini. Golongan yang terlibat mempunyai pelbagai latar belakang, dan kes-kes tersebut masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata, bahayanya ajaran Syiah keranan pengikutnya taksub kepada pemimpin mereka dan sanggup mengkafirkan orang Islam yang tidak sealiran dengan mereka.

"Mereka anggap imam mereka maksum. Jika dibiarkan fahaman ini tersebar, akan memberi ruang untuk mereka tambah pengikut dan boleh menyebabkan ketegangan dalam masyarakat sekaligus mengancam keselamatan negara," katanya.