• Hasan Malek Hasan Malek
1 / 1
SHAH ALAM – BN mempunyai peluang cerah untuk memenangi Pilihan Raya Kecil di kerusi Dun Sungai Limau berdasarkan rekod dan prestasi BN yang semakin baik setelah berjaya merampas Kedah daripada Pas pada PRU13 lalu.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek berkata, kemenangan Umno-BN dalam mana-mana pilihan raya akan tercapai jika jentera dan kepimpinan di semua peringkat dapat bekerjasama dan tidak berpecah-belah.

“Insya-ALLAH, sekarang kerajaan BN di Kedah, saya lihat kita ada harapan (Dun Sungai Limau).

“Kita semua perlu bekerja kuat, kalaulah semua orang Umno khususnya orang kita bersatu, kemenangan boleh kita perolehi, jangan kita berpecah,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut kerusi Dun Sungai Limau yang dikosongkan oleh penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak selepas meninggal dunia pada 11.10 pagi semalam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada umur 69 tahun selepas menghadapi komplikasi jantung sejak dua hari lalu.

Pada 9 Mei lalu, selepas PRU13, Azizan menjalani pembedahan untuk memotong untuk kedua-dua belah kakinya di Hospital Pulau Pinang akibat kencing manis.

Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah pada 4 Ogos selepas keadaannya agak stabil.

Azizan yang juga bekas Menteri Besar Kedah meninggalkan dua isteri iaitu Puan Sri Faikah Syeikh Hamzah dan Shamsiah Shafie serta lapan anak.

Azizan sebelum ini adalah Pesuruhjaya Pas Kedah sebelum diambil alih oleh Datuk Mahfuz Omar.

Pada PRU13, Azizan menang di kerusi Dun Sungai Limau menewaskan calon BN, Mohd Fazilah Mohd Ali dan dua calon bebas, Sobri Ahmad dan Abdullah Hashim.