• Wanita cari 'port' sesuai terjun bangunan Mayat Sau Chian ditemui di tepi tangga Flat Taman Pakatan, Bercham dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan itu, malam tadi.
1 / 1
BERCHAM - Seorang wanita sanggup menempuh perjalanan sejauh lebih 10 kilometer dipercayai bertujuan mencari 'port' sesuai sebelum bertindak terjun bangunan, malam tadi.

Wanita dikenali Chong Sau Chian yang tinggal di Taman Liew Yap Sin, Gunung Rapat di sini, dikatakan membawa diri ke kawasan perumahan Flat Taman Pakatan itu sebelum ditemui mati dipercayai akibat terjatuh dari rumah pangsa empat tingkat itu.

Wanita berusia 46 tahun itu juga dipercayai telah mengelar pergelangan tangan kanannya sebelum mayat mangsa dijumpai seorang penduduk yang menyedari banyak anjing menyalak kuat di kawasan berhampiran tangga bangunan itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima panggilan awam kira-kira jam 9.15 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Tibanya di kawasan terbabit, kelihatan seorang wanita tertiarap di atas jalan dipercayai terjun dari tingkat empat.

"Namun, wanita terbabit disahkan telah meninggal dunia selepas pembantu perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) melakukan pemeriksaan atas badan wanita terbabit" katanya di sini, malam tadi.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.

"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata mahupun racun.

"Bagaimanapun, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.