16 September, 2013
Idea Terbaik Dr. Dzulkefly Ahmad Buat PAS
BINTULU: Dakwah PAS mestilah ‘menerobos’ rumah pengundi tradisi Melayu
untuk menarik sokongan mereka, kata AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, ini kerana sifat golongan tradisi Melayu itu sukar untuk
mengubah sokongan mereka daripada parti kerajaan kepada pembangkang.
Justeru, katanya PAS yang sentiasa berdepan dengan mereka pada pilihan
raya seharusnya memastikan dakwah yang dijalankan dapat memasuki rumah
golongan itu.
“Siasah kita bermula dengan dakwah, kita bukan siasah sahaja, siasah dan
berdakwah,” ujarnya ketika membentangkan kertas kerja ‘Pengalaman
Kekalahan’ pada Ijtimak PAS Negeri Sarawak di sebuah hotel di sini,
petang semalam.
Tambahnya, di samping melaksanakan aktiviti dakwah, PAS perlu mengatur
strategi siasah kepada mereka. Beliau menambah, PAS perlu
melaksanakannya serentak kerana PAS adalah parti siasah dan dakwah.
Berkongsi pengalaman sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor sebelum ini,
katanya walau bagaimana pun perkhidmatan yang diberikan kepada mereka,
belum tentu dapat menarik sokongan Melayu tradisi pada pilihan raya
berikutnya.
Ini, ujarnya kerana sebahagian besar Melayu tradisi mudah dibeli oleh
Umno apabila menjelang pilihan raya sehingga mereka takut untuk
memberikan sokongan kepada PAS.
Bahkan, jelasnya pengundi muda juga bersikap demikian sedangkan sebelum
itu mereka banyak terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan oleh PAS
seperti pertandingan futsal, motocross dan lain-lain.
Justeru, katanya pendekatan dakwah dan siasah yang dilaksanakan oleh PAS
di kawasan tradisi Melayu bukan sahaja sekadar dapat ‘memasuki’ rumah
tetapi memenangi hati budi mereka.
“Yang terbaik selagi kita tak dapat menang hati budi, sehingga tak sedia
nak jadi ahli, tiada jaminan mereka nak undi kita,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dalam pengamatan dan pengalaman pada Pilihan raya Umum
lalu, aspek khidmat dan kebajikan, bersama dalam suka duka hidup rakyat
itu penting sehingga menatijahkan mereka tertarik dan mendukung
perjuangan yang murni ini.
Ini, jelas beliau berbeza dengan golongan Melayu bandar dan pertengahan
yang sedia berdiskusi, berdebat, berseminar dan lain-lain sebagai
pengisian dan pendekatan PAS kepada mereka.
Selain beliau, lima kertas kerja lain turut dibentangkan pada ijtimak
yang bertemakan ‘Iltizam Unutuk Sarawak’ itu ialah ‘Perkongsian
Pengalaman di Sabah’ oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ustaz Mohd
Anwar, ‘Perkongsian Pengalaman dari DAP’ oleh Setiausaha DAP Sarawak,
Alan Ling Sie Kiong, ‘Post Mortem Pasca PRU13 Fokus Kepada Borneo oleh
Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, ‘Senario Belia
Masakini – Ruang & Peluang’ oleh Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr
Raja Ahmad Iskandar dan ‘Pengalaman Kemenangan’ oleh Ahli Parlimen Shah
Alam, Khalid Samad. ~harakahdaily



0 orang berkata:
Post a Comment