17 September, 2013
Tindakan Ketua Dewan Ulama PAS Kurang Bijak - Mustapha Ali
SHAH ALAM - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib sepatutnya tidak
perlu bercakap mengenai strategi parti kepada umum kerana boleh
memberikan mesej yang salah berdasarkan persepsi rakyat.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tahaaluf siyaasi adalah
strategi dalam perjuangan dan perlu dibincangkan secara dalaman,
bukannya dihebohkan kepada umum.
"Tidak bijaksana dihebohkan. (Jika dihebohkan) maksud kajian boleh
disalah tafsir dan akibatnya kita menghantar mesej yang salah, bukan
sahaja kepada rakan PR tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya
penyokong Pas dan Pakatan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Harun, dalam ucaptama Multaqa Ulama Semalaysia baru-baru ini,
menyarankan Majlis Syura Ulama mengkaji semula tahaaluf siyaasi dalam PR
berdasarkan garis panduan syura atas alasan pengaruh parti itu semakin
lemah.
Sementara itu Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan
Harun bukan bertujuan melemahkan parti, tetapi mahu memastikan Pas lebih
konservatif dari segi hala tuju parti itu dalam PR.
“Bagi mana-mana organisasi parti dan badan korporat, mengkaji (semula) sesuatu strategi adalah perkara biasa.
“Saya yakin, beliau berkata demikian untuk menjadikan Pas lebih kuat daripada sekarang,” katanya.
Salahuddin berkata, perkara itu tidak sepatutnya dianggap negatif, sebaliknya perlu memahami apa yang cuba disampaikan.
“Kenyataan beliau itu supaya Pas bekerja lebih kuat ke arah memanfaatkan pengaruhnya dalam PR.
“Apa sahaja kekurangan dan masalah perlu diperhalusi demi memanfaatkan
melalui kerjasama dalam PR, selain mahu melihat peranan Pas bagi menjana
kekuatan dalam PR,” katanya. ~sinar harian



0 orang berkata:
Post a Comment