• Khairy Jamaludin Khairy Jamaludin
1 / 1
SHAH ALAM –  Pemuda Umno bersedia melaksanakan tugas-tugas yang lebih besar jika transformasi yang disarankan kepada parti tersebut dilaksanakan.
Ketua Pemuda Umno,  Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu memang diamalkan dalam parti itu sejak sekian lama.

Katanya proses peremajaan parti sentiasa berlaku dalam parti tetapi ia perlu diperkasakan lagi.

“Umno sentiasa memerlukan peralihan generasi dan kemunculan pemimpin muda dan adalah penting untuk menggabungkan pemimpin muda ini dengan pemimpin berpengalaman,” katanya.

Exco Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sebagai pelapis, mereka tidak mempunyai pilihan melainkan menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan baik demi kepentingan parti.

“Semua gerak kerja perlu ada kombinasi dalam kalangan pemimpin baru dan lama di mana masing-masing memiliki pengalaman dan ilmu berbeza.

“Pemuda sentiasa bersedia dalam menggalas sebarang tanggungjawab yang akan diberikan,” katanya, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Umno memberi ruang kepada golongan muda sebagai pemimpin untuk kebaikan parti itu.

Ini kerana katanya, Umno sedang 'menghidap sakit tua' yang tetap akan membawa 'maut' dan hanya jika diperbaharui oleh pemimpin muda barulah parti itu dapat meneruskan perjuangan-perjuangan yang diamanah oleh bangsa Melayu.

Seorang lagi Exco Pemuda Umno, Jamawi Jaafar berkata, parti ini mempunyai ramai pemimpin muda berkualiti yang sekiranya diberi peluang dan ruang akan mampu membawa kejayaan kepada negara.

“Pemimpin terdahulu memang diperakui kehebatan mereka tetapi golongan pemimpin pelapis juga tidak lemah semangat untuk cuba memimpin terutama sekiranya diberi peluang,” katanya.

Beliau berkata, ia selaras dengan transformasi yang dikehendaki oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sekaligus membawa dimensi baru kepada Umno supaya terus relevan sampai bila-bila.