Wednesday, September 18, 2013
Umno dah tua dan bakal mati
![]() |
| Tun Mahathir. Foto BLOOMBERG |
KUALA LUMPUR: Ramalan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad,
bahawa Umno "sudah tua dan bakal mati" dibidas oleh beberapa pemimpin
parti itu, yang sekali gus menolak kenyataan yang dibuatnya dalam satu
rencana akhbar Utusan Malaysia, kelmarin.
Para pemimpin Umno itu berkata Dr Mahathir seharusnya sedar bahawa Umno kini dalam proses transformasi dan pembaharuan.
Salah seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad
Zarkashi, melihat isu yang dilontarkan Dr Mahathir itu sudah berlaku
pada zaman mantan perdana menteri itu menjadi Presiden Umno dari 1981
hingga 2003.
"Umno wujud dari dahulu lagi dan terpalit dengan pelbagai masalah sejak
Dr Mahathir menerajui Umno dan beliau tidak pula merawat kecederaan
itu," kata Dr Mohd Puad kepada portal berita The Malaysian Insider.
Menurutnya, antara gejala dalam Umno adalah perpecahan, masalah tidak meletakkan keutamaan kepada parti dan isu 'politik wang'.
Beliau berkata kenyataan Dr Mahathir bahawa Umno
akan mati tidak boleh diterima kerana para pemimpin parti tersebut kini
gigih berusaha merawat beberapa kepincangan yang berlaku dalam parti
itu.
"Selagi Umno tidak lari daripada masalah dan memegang prinsip
kesederhanaan, menyeluruh dan keadilan untuk semua kaum, Umno akan
selamat," kata Dr Mohd Puad.
Dalam rencana terbitan Utusan Malaysia itu - sebuah akhbar yang dimiliki
Umno - Dr Mahathir memberi nasihat kepada ahli Umno supaya melantik
pemimpin muda kerana parti tersebut sedang mengalami "sakit tua" dan
"bakal mati".




0 orang berkata:
Post a Comment