Cuaca buruk, operasi cari mangsa banjir dihenti
-
Pelbagai
jentera digunakan untuk membersihkan sampah dan lumpur serta mencari
mangsa yang masih hilang dalam banjir lumpur yang melanda di Bertam
Valley, Cameron Highlands awal pagi tadi. - Foto Bernama
CAMERON HIGHLANDS - Operasi mencari dan menyelamat seorang wanita warga
Indonesia yang dipercayai dihanyutkan arus deras di Sungai Bertam,
Ringlet, di sini hari ini dihentikan setakat pukul 6 petang berikutan
cuaca buruk.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Mohd Zahari Wan Busu berkata operasi akan disambung 8 pagi esok.
Beliau berkata polis bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Cameron
Highlands, Jabatan Pertahanan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia akan
meluaskan kawasan mencari dan menyelamat di sepanjang Sungai Bertam.
Mohd Zahari berkata mangsa yang dilaporkan hilang dikenali sebagai Jarwati, 24, dan dipercayai dihanyutkan arus deras.
"Hari ini kita telah melakukan proses mencari dan menyelamat di kawasan
Sungai Bertam kira-kira 13 kilometer dan esok kita akan memperluaskan
lagi kawasan mencari," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata proses mencari dan menyelamat membabitkan 293 pasukan
keselamatan serta polis, turut menggunakan khidmat anjing pengesan bagi
membantu usaha mencari.
Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi tiga terbunuh - dua daripadanya
lemas dan seorang akibat serangan jantung, dalam kejadian banjir kilat
selepas air Sungai Bertam melimpah susulan pelepasan air empangan di
Ringlet.
Kejadian itu turut memusnahkan 80 kediaman musnah dan beberapa kenderaan di kawasan penempatan Lembah Bertam itu.
Setakat ini 10 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Ringlet.
Sementara itu, Mohd Zahari turut mengingatkan penduduk agar lebih peka
dengan siren amaran yang dibunyikan pihak berkuasa untuk tujuan
keselamatan dan arahan banjir kilat. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment