Dah Serik Kena Saman Berjuta, Sekarang Utusan Asyik Mohon Maaf...
Utusan Malaysia mohon maaf kerana fitnah Syed Husin Ali
Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini membuat permohonan maaf kepada Senator Syed Husin Ali sebagai sebahagian daripada syarat penyelesaian kes tuntutan saman yang dikenakan terhadap akhbar harian Melayu itu oleh bekas Timbalan Presiden PKR berkenaan.
Penghakiman persetujuan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Su Geok Yiam, hari ini.
Peguam, L Bani Prakash yang mewakili Syed Husin, berkata Utusan Malaysia menarik semula laporan mereka dan memohon maaf kepada anak guamnya.
“Sebagai sebahagian daripada penyelesaian itu, Utusan Malaysia juga mesti menyiarkan permohonan maaf itu dalam akhbarnya di muka surat 8 dalam tempoh 10 hari.
“Sejumlah pampasan yang tidak boleh didedahkan nilainya sudah dipersetujui antara kedua-dua pihak,” katanya.
Pagi ini, Syed Husin menerusi akaun Twiternya @syedhusinali berkata:”Utusan memohon maaf kepada saya pagi ini di Mahkamah Sivil 7. Akan siar dan bayar pampasan. Zamil (Zamil Ibrahim, pemimpin Kita) akan berurusan secara berasingan. Mereka memfitnah saya”.
Pada Mei 2010, Syed Husin menyaman Utusan Malaysia dan dua lagi defendan sebanyak RM10 juta atas tuduhan memfitnahnya menerusi artikel yang disiarkan akhbar itu pada 6 Mac tahun yang sama.
Beliau turut menamakan editor akhbar itu, Mohd Hassan Mohd Noor dan Zamil sebagai defendan kedua dan ketiga.
Syed Husin meminta RM10 juta sebagai ganti rugi, ganti rugi teladan dan memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menyiarkan kata-kata fitnah terhadapnya, serta kos dan relief yang mahkamah rasakan sesuai.
Dalam penyata tuntutannya, Syed Husin berkata, Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk “RM500,000: Syed Husin dicabar lapor polis” yang berbentuk fitnah terhadapnya -TMI



0 orang berkata:
Post a Comment