• Yakin kerajaan tidak akan tunduk Sebahagian kajian kedaulatan undang-undang yang dijalankan 'The World Justice Project'.
1 / 1
KERAJAAN diyakini tidak akan tunduk kepada tuntutan Gabungan NGO Hak Asas Manusia Malaysia (Comango) yang akan membentangkan laporan mereka kepada Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, hari ini.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, jika UNHRC bersetuju dengan tuntutan itu sekalipun, Kerajaan Malaysia tidak terikat untuk melaksanakan apa yang dituntut kerana dasar kerajaan adalah tertakluk pada Perlembagaan.

"Dasar kerajaan kita adalah mengikut Perlembagaan. Kalau katakan nak buat (tuntutan itu) juga, Perlembagaan kena pinda dulu melalui prosesnya iaitu pindaan di Parlimen, dapat persetujuan majoriti dua pertiga dan perlu mendapat kebenaran daripada Majlis Raja-Raja jika ia melibatkan agama Islam dan keistimewaan Melayu," katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata, negara juga tidak akan dipulaukan jika kerajaan tolak tuntutan itu.

Selain itu, ujarnya, negara akan menerima tempias kesan publisiti tidak baik sekiranya tuntutan Comango dilaksanakan jika hal itu diuar-uarkan di peringkat antarabangsa.

“Orang akan mempersoalkan bagaimana Malaysia laksanakan kebebasan beragama dan sebagainya sebab apa yang kita buat (selama ini) selaras dengan peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Sehubungan itu, Nik Ahmad Kamal yakin kerajaan tidak akan beri komitmen untuk memenuhi tuntutan gabungan itu.

Menurut Nik Ahmad Kamal, apa yang didakwa oleh Comango dalam tuntutan mereka jelas mengikut neraca hak asasi Barat yang tidak sesuai dengan budaya rakyat negara ini.

"Tuntutan kebebasan seks termasuk seks sejenis yang dianggap hak asasi dan juga privasi dalam kehidupan peribadi bukan saja tidak sesuai dengan budaya rakyat negara kita, malahan bertentangan dengan hukum moral. Bukan Islam saja, agama apa pun tentang budaya songsang ini," katanya.

Atas sebab itu ujarnya, rakyat negara ini tidak seharusnya panik atau termakan hujah Comango berkaitan hak asasi kerana neraca kebebasan bagi mereka dalam sesetengah perkara tidak selari dengan hukum moral, apa lagi hukum hakam agama.

"Memang dari satu segi, kita agak terkebelakang dalam isu hak asasi tapi seperti yang saya kata, neraca mereka tidak sama dengan budaya kita, terutama Islam. Ukuran mereka adalah mengikut kayu ukur Barat," katanya.

Menurut Nik Ahmad Kamal, kajian 'The World Justice Project' mendapati Malaysia di tangga ke-11 daripada 14 negara Asia Timur dan Pasifik dalam isu hak asasi.

"Secara keseluruhan, kita berada dalam kedudukan yang agak baik dalam lima daripada lapan ukuran yang diguna pakai iaitu ketujuh dalam isu kedaulatan undang-undang, keenam dalam perkara berkaitan perintah dan keselamatan.

"Dalam ukuran ketiadaan rasuah, penguatkuasaan peraturan, keadilan awam serta keadilan jenayah, kita di tangga ketujuh daripada 14 negara," katanya.

Selain isu hak asasi, jelasnya, hanya dua sahaja perkara yang meletak Malaysia pada kedudukan kurang baik iaitu kuasa kerajaan yang terhad (kelapan) dan kerajaan terbuka di tempat kesembilan.

Katanya, tiada asas yang kuat bagi Comango membawa perkara itu kepada PBB, seolah-olah isu hak asasi manusia di negara ini terlalu diabaikan atau rakyat hidup dalam tekanan hingga memerlukan perhatian antarabangsa.

"Saya yakin, kerajaan tidak akan memeterai perjanjian dengan International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) kerana ia bertentangan Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.

Tegas beliau, sebarang tuntutan yang bercanggah dengan Perlembagaan seperti dalam isu berkaitan hak ketuanan Melayu dan agama Islam juga boleh membuka ruang pihak berkenaan didakwa mengikut Akta Hasutan.