• Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai
1 / 1
KAJANG - Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menimbulkan ketegangan berhubung pendidikan Cina ketika menjadi menteri pelajaran.

Tiong Lai berkata, sejarah menunjukkan Anwar, antara lain, menempatkan beberapa guru besar dan guru biasa yang tidak memahami bahasa Cina, di sekolah Cina.

  
Beliau mendakwa Anwar juga bertanggungjawab mengeluarkan pekeliling melarang semua negeri daripada menyediakan tanah bagi pendidikan Cina ketika itu.
  
Tiong Lai berkata, pengundi di Kajang, terutama pejuang pendidikan Cina, boleh mengimbau kembali sejarah pendidikan Cina ketika Anwar menjadi menteri pelajaran.

Sambil menjelaskan bahawa beliau hanya ingin menarik perhatian tentang sejarah itu, Liow mendakwa tindakan Anwar itu telah mencetuskan banyak ketegangan.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan limau dan bunga mawar kepada orang ramai sempena sambutan "Chap Goh Mei" dan Hari Valentine di Pasar Sungai Chua Market, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie.

Tiong Lai berkata, berdasarkan rekod lampau Anwar, pemimpin pembangkang itu tidak akan menunaikan janjinya dan akan terus memutarbelitkan dan memanipulasi setiap perkara demi mendapatkan undi untuk kepentingan dirinya.

  
"Ibu pejabat Dong Zong (Persekutuan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia) juga terletak di sini (Kajang). Mereka dan kami tahu dengan amat jelas bahawa perjuangan Anwar tidak boleh dipercayai.
  
"Malah, beliau (Anwar) juga datang ke ibu pejabat Dong Zong baru-baru ini dan menabur beberapa janji, oleh itu, sebagai pemimpin MCA, saya perlu mendedahkan sikap beliau," katanya.
  
Sementara itu, MCA telah menyenaraipendekkan calonnya bagi PRK Dun Kajang, yang akan diadakan pada 23 Mac berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandang kerusi itu, Lee Chin Cheh daripadaPKR, pada 27 Januari. - Bernama