• Mohd Shafie Apdal Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
1 / 1
SHAH ALAM - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal tidak bersetuju jika isu moral menjadi bahan kempen utama dalam PRK Dun Kajang yang bakal berlangsung Mac depan.

Beliau berkata, parti yang bertanding seharusnya akur dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita harap kedua-dua pihak (BN dan PR) akan patuhi perkara ini. Kadang-kadang peraturan ini boleh dikeluarkan tapi penguatkuasaan sangat lemah.

"Itu yang harus kita lihat, banyak negara boleh keluarkan undang-undang tetapi dari segi penguatkuasaan tidak dilakukan, seperti masalah moral dalam ruang siber yang sukar dikawal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Usahasama (MOU) antara Risda dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut beliau, gesaan SPR itu harus diikuti dengan penguatkuasaan yang baik demi menjamin kelangsungan demokrasi yang bersih di negara ini.

Terdahulu, SPR menyelar kenyataan seorang pemimpin Umno yang mahu membangkitkan kes rayuan liwat, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan video seks seorang lelaki menyerupainya sebagai modal kempen BN dalam PRK Kajang pada Mac depan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam laporan sebuah portal menganggap perbuatan itu menyalahi peraturan pilihan raya.