26/03/14
Akhbar China desak Putrajaya usah sembunyi maklumat MH370
Ketika
China menerima berita mengenai 154 warganya dipercayai maut apabila
pesawat Malaysia Airlines MH370 terhempas di selatan Lautan Hindi,
Putrajaya didesak supaya tidak menyembunyikan maklumat yang boleh
memberikan jawapan kepada beberapa persoalan utama yang menyelubungi
misteri kehilangan pesawat itu sejak lebih dua minggu lalu.
Lidah pengarah China Global Times
berkata, Malaysia perlu mendedahkan semua maklumat kerana keraguan
terhadap kehilangan pesawat itu akan hanya memusnahkan kredibilitinya.
“Malaysia perlu menggunakan semua
pasukan untuk mengesahkan kedudukan tepat pesawat itu terhempas secepat
mungkin, mengesan bangkai dan cari kotak hitam, dan mengesahkan sebab
sebenar di sebalik kemalangan itu bersama masyarakat antarabangsa.“Tanpa
semua itu, keraguan akan sentiasa ada mengenai takdir terakhir pesawat
itu. Mendedahkan kebenaran kepada orang ramai adalah perkara utama
Malaysia,” kata editorial itu.
Akhbar harian itu berkata, dengan 154
penumpang adalah warganegara China, negara itu mempunyai hak untuk
menggesa kerajaan Malaysia memaklumkan kepada umum apa sebenarnya yang
berlaku.
“Kita perlu tahu dengan jelas jika malapetaka ini disebabkan oleh anak kapal atau sama ada wujud paksaan di udara atau daratan.
“Kita harap kerajaan Malaysia tidak akan
menyembunyikan sebarang maklumat, di samping kebimbangan mengenai
keselamatan negara dan politik dalaman,” kata editorial itu.
Apabila penyiasatan pesawat yang hilang
itu bermula, tidak ramai rakyat China yang mengaitkannya dengan
konspirasi yang mensasarkan China.
“Rakyat China selama ini melihat Malaysia sebagai rakan. China minta kebenaran.
“Harapnya, kerajaan China bersama
negara-negara lain yang mempunyai keupayaan risikan, boleh membantu dan
menggesa Malaysia untuk lebih telus dalam memberikan maklumat,” kata
editorial itu.
Semalam, kira-kira 200 ahli keluarga pesawat MH370 dari China yang berduka lara berarak ke Kedutaan Malaysia di Beijing.
Mereka mendesak Malaysia Airlines dan
Putrajaya menjelaskan apa yang berlaku. Ada yang menangis, berpimpinan
tangan dan menjerit slogan termasuk, “Kerajaan Malaysia pembunuh” dan
“Kami mahu saudara-mara kami semula”.
Ahli keluarga penumpang yang marah itu turut bertempur dengan polis di luar kedutaan.
China turut mendesak Putrajaya
menyerahkan data satelit yang membawa kepada kesimpulan pesawat ke
Beijing itu terhempas di laut dan tiada seorang pun daripada 239
penumpang selamat.
Cara Malaysia mengendalikan krisis itu
dikritik oleh beberapa media antarabangsa dan pakar yang berkata,
percanggahan kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa pada hari-hari
awal kejadian itu dan kelewatan mendedahkan data tentera mungkin
menjejaskan pencarian Boeing 777-200ER itu.
Putrajaya menghantar delegasi pemimpin
tertinggi Malaysia ke Beijing untuk memberi taklimat kepada keluarga
penumpang pada Isnin, susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak mengenai analisis data satelit daripada syarikat
Britain, Inmarsat yang mendedahkan pesawat itu terhempas di selatan
Lautan Hindi.
Di sebalik pengumuman Najib, ramai
keluarga yang akan hanya berhenti berharap jika bukti kukuh dikemukakan
dalam bentuk bangkai pesawat atau kotak hitam ditemui.
Maka, editorial Global Times
berkata:”Nahas udara ini adalah sesuatu yang jarang berlaku dan misteri,
dan tidak patut direkodkan dalam sejarah sebagai perkara yang tidak
berjaya diselesaikan, tetapi ia perlu menjadi pengajaran untuk masa
depan.” – TMI


0 orang berkata:
Post a Comment