• MH370
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pencarian MH370 kini memasuki hari ke-20 dengan 11 pesawat dan lima kapal dari pelbagai negara dikerah hari ini bagi menjejaki pesawat Boeing 777-200ER itu di perairan berbahaya di selatan Lautan Hindi yang dipercayai lokasi terakhirnya.
      
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pencarian dipecahkan kepada dua kawasan dalam zon pencarian yang sama meliputi keluasan 78,000 kilometer persegi.
   
"Cuaca di kawasan pencarian dijangka merosot lewat hari ini," kata kenyataan itu.
      
Menurut AMSA, dua pesawat AP-3C Orion Tentera Udara Diraja Australia, sebuah pesawat tentera China Ilyushin IL-76, sebuah jet Gulfstream dan pesawat P-3 Orion milik Jepun serta pesawat tentera Amerika Syarikat P-8 Poseidon menyertai operasi hari ini.

"Lima pesawat awam dijadual berlepas (dari Perth) antara pukul 9.30 dan 11 pagi (sama waktu dengan Malaysia). Sebuah jet Pengawal Pantai Jepun akan berlepas pada pukul 2 petang, manakala sebuah P-8 Poseidon milik Amerika dijadual berlepas pada 4 petang. Sebuah P3 Orion milik Jepun akan menyusul pada 5 petang," kata kenyataan itu.

Kapal tentera laut Australia HMAS Success masih di kawasan pencarian yang berkedudukan kira-kira 2,500 km barat daya Perth itu dan kini disertai empat kapal China iaitu Xue Long, Kunlunshan, Haikou dan Qiandaohu, kata AMSA.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dengan 154 daripadanya warga China, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac lepas ketika ke Beijing.

Operasi pencarian membabitkan pelbagai negara dilakukan di Laut China Selatan sebelum diperluas ke kawasan daratan dan laut di barat Semenanjung Malaysia termasuk Lautan Hindi, selepas penemuan menunjukkan pesawat itu mengubah haluan jauh daripada laluan asal.

Berdasarkan kaedah analisis yang tidak pernah dilakukan sebelum ini menggunakan data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB), pesawat itu dirumuskan terbang di sepanjang laluan koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.

Bersandarkan maklumat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin malam mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. - Bernama