• adnan
1 / 1
KUALA LUMPUR - Kerajaan menggalakkan lebih ramai pemaju perumahan membangunkan projek berkonsepkan pembangunan bersepadu di bandar, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.   

Beliau berkata konsep pembangunan yang menghimpunkan kediaman dan kemudahan seperti kedai, pejabat dan kemudahan rekreasi dapat membantu kerajaan melengkapkan prasarana kepada penduduk setempat.

"Konsep pembangunan bersepadu ini bukan konsep baharu, tetapi ia semakin dilupakan terutama di Kuala Lumpur.

Oleh itu, kerajaan amat berharap lebih ramai pemaju membangunkan konsep ini dalam setiap projek bagi memenuhi keperluan penduduk," katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek EcoSky oleh Eco World Development Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata konsep itu juga boleh membentuk sebuah komuniti aktif yang boleh bersosial seperti sebuah keluarga dengan memanfaatkan semua kemudahan yang disediakan.

Konsep itu juga diharap dapat membantu memenuhi aspirasi kerajaan dalam menyediakan penduduk bandar dengan infrastruktur dan prasarana bertaraf dunia selain perumahan yang mampu dimiliki, kata menteri itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Datuk Chang Kim Wah berkata projek bernilai RM1 bilion itu mengandungi tiga blok apartmen servis, lot pejabat, rumah kedai dan pusat rekreasi keluarga.

Dibina di tapak seluas 3.9 hektar, ia merupakan projek pertama syarikat berkenaan di Kuala Lumpur yang menerapkan konsep bersepadu di samping konsep hijau.

Beliau berkata sebanyak RM3 juta daripada keuntungan projek akan diperuntukkan untuk menaik taraf prasarana setempat termasuk mengadakan jejantas berbumbung dari kawasan ini ke stesen LRT Taman Wahyu.

"Ini sebagai usaha syarikat kami dalam membantu kerajaan meningkatkan kemudahan penduduk setempat di bandar raya Kuala Lumpur," katanya.

Projek yang dibangunkan di Jalan Ipoh itu dijangka siap sepenuhnya Mei 2017 dengan harga jualan antara RM650,000 hingga RM1.5 juta. - Bernama