• Isu air
1 / 1
SELAYANG - Memorandum Persefahaman (MoU) penstrukturan semula industri bekalan air Selangor antara kerajaan negeri Selangor dengan kerajaan Persekutuan terus dipertikaikan selepas masuk hari kelapan ia dimeterai.

Hari ini, Pertubuhan Prihatin Rakyat Negeri Selangor (Prisel) menyatakan keraguan mereka terhadap kandungan dan tujuan MoU itu ditandatangani.

Pengerusinya, Mohamad Abd Rahman mendakwa, tindakan Menteri Besar Selangor , Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah menyembunyikan perjanjian itu, sedangkan ia melibatkan kepentingan rakyat.

"MoU yang dibuat secara mengejut itulah yang membuat rakyat sangat terkejut.

"Apakah kerajaan Selangor hanya diwakili dua orang untuk membuat keputusan yang besar melibatkan kepentingan rakyat?" katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sehubungan itu, Prisel mendesak Abdul Khalid memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap perkara tersebut.

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berhubung MoU tersebut tidak melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Mohamad menggesa Exco Selangor tampil memberikan kenyataan.

"Exco pun, bersuaralah...  Janganlah diam sahaja," katanya.

Dalam rangka menyatakan bantahan kepada perjanjian itu, Prisel bakal menganjurkan flashmob Jumaat ini di Shah Alam.

Selain itu, katanya lagi, memorandum bantahan juga bakal dihantar kepada Abdul Khalid dalam masa terdekat.