Dua Adun Pas diberi tempoh 24 jam
SHAH ALAM - Pas Selangor memberi tempoh 24 jam kepada dua Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) parti itu di negeri ini untuk menarik balik
pendirian mereka menyokong Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baharu.
Setiausaha Pas negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata sekiranya
kedua-dua Adun berkenaan - Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib
(Hulu Kelang) - enggan berbuat demikian, mereka bakal berdepan dengan
tindakan disiplin.
"Pas Selangor memandang serius tindakan dua Adun Pas ini yang telah
mengambil pendirian dan bersikap bersendiri tanpa menurut tatacara serta
arahan yang telah ditetapkan parti.
"Saya nasihati kedua-dua Adun ini untuk menarik balik tindakan
(menyokong Dr Wan Azizah) atau Pas Selangor akan mulakan tindakan
disiplin termasuk melihat kepada kandungan bai'ah (janji) yang telah
dilafazkan sewaktu mereka menjadi calon (Adun)," katanya dalam satu
kenyataan di sini hari ini.
Hasnul dan Saari hari ini menyertai sidang media bersama Dr Wan Azizah
bagi menyatakan sokongan kepada presiden PKR itu sebagai menteri besar
baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dr Wan Azizah, yang juga Adun Kajang, mendakwa 30 Adun Selangor
daripada DAP dan PKR serta Hasnul dan Saari juga menyatakan rasa hilang
kepercayaan terhadap Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.
Mohd Khairuddin turut menempelak tindakan kedua-dua Adun itu yang
disifatkan terlalu gopoh dan terlalu taksub sehingga sanggup
membelakangkan parti sedangkan Pas Pusat hanya akan memutuskan pendirian
rasmi mereka dalam mesyuarat jawatankuasa pusatnya Ahad ini (17 Ogos).
"Pas mempunyai organisasi negeri, kepimpinan pusat dan majlis syura
ulama yang harus kita patuh. Apa jua keputusan dan ketetapan yang akan
dibuat oleh Pas Pusat pada 17 Ogos ini kita akan patuh. Sebab itu
sabar," katanya.
Kedudukan terkini Dun Selangor yang memiliki 56 kerusi ialah Pas dan DAP masing-masing memiliki 15 kerusi, PKR (13), Barisan Nasional (12) dan Bebas (1).
Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Abdul Khalid untuk mengekal jawatan menteri besar kerana menurutnya Abdul Khalid tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
Pandangan sama dinyatakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat yang turut mempersoal tindakan pihak tertentu yang mahu menggugurkan
Abdul Khalid daripada jawatannya.
Turut sama menyokong adalah Dewan Ulama Pas Pusat yang menegaskan Abdul
Khalid patut dibenar meneruskan tugasnya sebagai menteri besar sehingga
ke akhir penggal kerana tiada sebarang alasan syarie yang kukuh
dikemukakan setakat ini untuk mewajarkan penukarannya. - Bernama
1 orang berkata:
Buang ja saari sugip jawa goblok tu
Suruh dia jual tempe aje. Kasi jamu tempe same ajijah
Post a Comment