• Mohd Akmal Kamaruddin Mohd Akmal Kamaruddin
1 / 1
IPOH - Pemuda Pas Perak menyarankan supaya pemimpin dalam PR lebih kerap bersemuka bagi memastikan hubungan yang dibina antara gabungan ketiga-tiga parti itu kukuh.

Timbalannya, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, berikutan itu, semua pihak perlu berlapang dada dalam menangani perbezaan pendapat demi masa depan PR.

“Pas tidak perlu keluar daripada PR, sebaliknya pemimpin perlu duduk semeja dan berbincang cara terbaik bagi menyelesaikan konflik yang melanda.

“Jika suasana tuduh menuduh berterusan, ini merugikan PR sebaliknya parti lawan yang akan mendapat untung besar dan pada masa itu ketiga-tiganya hanya mampu gigit jari,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang mendedahkan bahawa terdapat usaha untuk menyingkirkan Pas daripada PR.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Akmal turut menggesa mereka yang terbabit dalam konflik tersebut supaya menamatkannya dengan segera.

Katanya, daripada terus menuding jari dan mencari kesalahan antara satu sama lain, lebih baik mereka turun padang dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Rakyat dahagakan khidmat kita, jadi lebih baik kita terus bekerja demi kepentingan dan kesejahteraan mereka (rakyat) di kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, di Perak, hubungan Pas bersama rakan PR yang lain amat baik dan tidak mempunyai masalah memandangkan mereka sentiasa bertemu untuk mengekalkan hubungan antara satu sama lain.

“Di peringkat pemuda, kami mempunyai hubungan yang cukup erat dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy).

“Justeru, kami berharap konflik yang berlaku di negeri lain tidak akan menular di Perak,” katanya.