• Mohamad Sabu Mohamad Sabu
1 / 1
SHAH ALAM - Dalam kesuntukan masa Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali untuk memilih nama barisan Exco baharunya, kelihatan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu hadir ke Pejabat Menteri Besar itu.

Mohamad yang ditemui selepas perjumpaan itu bagaimanapun berkata, pertemuan beliau dengan Azmin hanyalah sebagai kunjungan hormat.

"Tidak ada perbincangan mengenai senarai Exco. Itu terserah pada menteri besar," katanya ketika ditemui di Lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Semalam, Pas Selangor bertegas mahu mempertahankan komposisi empat orang Exconya dalam pentadbiran Selangor.

Pengerusinya, Iskandar Abdul Samad berkata, adalah tidak patut meminta Pas yang memenangi 15 kerusi Dun mengurangkan kuota empat orang Exconya.

Iskandar bagaimanapun menyatakan belum ada perbincangan antara pihak Pas Selangor dan Azmin berkaitan perkara tersebut.

Azmin akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini untuk mengemukakan 10 nama Exco negeri.