• Tun Abdul Hamid Mohamad Tun Abdul Hamid Mohamad
1 / 1
KUALA LUMPUR – Akta Hasutan perlu dipinda dengan memasukkan kepentingan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, ia bertujuan agar kedudukan agama tersebut tidak dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

“Sekarang ini Seksyen 3 (1) (f) Akta Hasutan hanya memperuntukkan Perkara 152 dan 153 mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak. Tetapi ia tidak menyebut mengenai Islam sebagai agama rasmi.

“Jadi kita mahu Islam sebagai agama rasmi dimasukkan ke dalam Seksyen 3 (1) (f).  Ini bagi memastikan tiada siapa yang boleh mempermainkan Islam,” katanya di sini,  hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan memansuhkan undang-undang di bawah Akta Hasutan yang tidak membenarkan perbuatan mengkritik kerajaan.

Hal ini kerana, kata beliau, kerajaan selama ini tidak pernah menjatuhkan hukuman kepada pihak yang melakukan kesalahan tersebut.

“Jika kerajaan mahu laksanakan peruntukan itu dengan ketat, bagaimana calon mahu berkempen dalam pilihan raya? Tapi sekarang orang cakap macam-macam pasal kerajaan, tiada tindakan pun dikenakan.

“Jadi buat apa kekalkan undang-undang itu? Lebih baik mansuhkan agar kerajaan dilihat bersikap lebih terbuka selain selaras dengan amalan demokrasi,” katanya.