• Parti PAS Parti PAS
1 / 1
SHAH ALAM - Dengan pelbagai pergolakan yang berlaku terhadap Pas mutakhir ini, parti itu perlu mula berfikir untuk meneruskan perjuangan secara sendirian tanpa bantuan PR.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Samsu Adabi Mamat berpendapat, senario politik Pas hari ini semakin menenggelamkan parti itu apabila dilihat terus menjadi mangsa kepada dua rakan komponen mereka iaitu PKR dan DAP.

Menurutnya, Pas mempunyai kekuatan luar biasa dalam pentas politik negara, namun ia semakin rapuh apabila parti itu hanya mampu menerima dan bersetuju dengan setiap keputusan yang dibuat rakan PR.

"Pas kuat di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang dan juga Selangor. Sikap berdiam diri Pas dan hanya menerima keputusan itulah yang menjadi punca mereka menjadi mangsa kepada parti lain.

"Sebagai contoh, menerima pengurangan satu (kerusi) Exco Kerajaan Selangor tanpa sebarang tuntutan lain, sedangkan kerusi yang dimenangi Pas melebihi PKR pada PRU13 lalu, seharusnya Pas diberikan lebih jawatan exco.

"Kemudian isu (gantung tugas) exco mereka di Pulau Pinang dan kekalahan di PRK Dun Pengkalan Kubor menunjukkan isyarat kuat parti itu menyemak semula tahaluf siyasi bersama PR," katanya.

Menurutnya, Pas sendiri perlu sedar parti itu bukan menumpang kepada PR, sebaliknya ia parti yang paling kuat dalam PR.

"Kajian saya pada 2008 mengenai kedudukan Pas dalam politik Malaysia menunjukkan Pas bukan parti sembarangan.

"Di kawasan ditandingi Umno dan Pas, sebanyak 53 peratus pengundi Melayu akan menyokong Pas. Jadi Pas ada kekuatan mereka sendiri, tidak perlu takut untuk menentang BN jika bergerak sendiri kerana ia sudah berlaku sebelum 2008 lagi," katanya.

Samsu Adabi berkata, sejak awal lagi, ideologi Pas dilihat sangat berbeza dengan PKR dan DAP.

"Pas tidak perlu menafikan perkara ini, kerana apa yang berlaku hari ini adalah kerana tiada kesepakatan dalam sebuah parti gabungan," katanya.

Jelas beliau, jika Pas keluar daripada PR, secara tidak langsung, parti itu dapat membersihkan ahli-ahli mereka yang sudah dilihat berbeza pandangan dan aliran dalam perjuangan.

Pendapat sama disokong Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian yang berpendapat Pas tiada pilihan selain keluar PR jika mahu perjuangan parti direalisasikan.

"Jika Pas mengutamakan perjuangan parti, mereka tidak perlu lagi bersama PR. Tetapi, jika Pas masih menaruh harapan kepada PR yang disifatkan dapat membantu dalam perjuangan politik, mereka boleh teruskan.

"Tetapi dengan apa yang berlaku hari ini, langkah terbaik buat Pas adalah mengundurkan diri kerana Pas sudah buktikan mampu melawan BN sebelum bersama-sama PR," katanya.