• PRK Pengkalan Kubor
1 / 1
SHAH ALAM - Kekalahan Pas pada PRK Dun Pengkalan Kubor semalam menyaksikan strategi parti itu mengambil alih kerusi tersebut daripada PKR untuk menawan kubu kuat BN itu tidak menjadi, menurut penganalisis politik.

Kemelut dalaman PR yang semakin buruk akibat krisis kerusi Menteri Besar Selangor juga dilihat memberi kesan dalam sokongan rakyat kepada pakatan itu pada PRK kali ini.

Semalam, kerusi Dun Pengkalan Kubor kekal milik BN setelah calonnya, Mat Razi Mat Ail menang dengan 9,961 undi, menewaskan calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim (7,326 undi) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (38 undi).

Kemenangan itu menunjukkan majoriti BN meningkat daripada 1,736 pada PRU13 lalu kepada 2,635 pada PRK kali ini.

Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berpendapat, kekalahan Pas dalam PRK itu memperlihatkan parti tersebut tidak boleh bertindak tanpa sokongan rakan dalam PR.

"Pas masih memerlukan sokongan padu daripada dua rakan parti, PKR dan DAP jika mahu terus melakar kejayaan khususnya di Kelantan.

"Kekalahan dengan jumlah majoriti (BN) yang melebihi PRU13 lalu membuktikan Pas ditolak rakyat mereka sendiri," katanya.

Dalam pada itu Dr Azmi berkata, PKR juga dilihat sengaja melepaskan Dun berkenaan kepada Pas kerana tahu sukar untuk menang di kawasan itu.

"Tidak hanya itu, DAP juga tidak memberikan sokongan padu kepada Pas, ini juga antara faktor memperlihatkan Pas tidak kukuh dalam gelanggang politik hari ini," katanya.

Sementara itu, pendapat sama turut disokong penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani yang menyifatkan strategi Pas bertanding di Dun berkenaan hanya memakan diri.

"Sepatutnya kawasan berkenaan ditandingi PKR. Ketiadaan PKR semasa berkempen juga jelas dilihat seolah-olah ada unsur sabotaj dalaman terhadap Pas hingga menyebabkan kekalahan," jelasnya.

Katanya, walaupun kawasan berkenaan menjadi kubu kuat BN, tetapi PKR turut ada pengaruh tersendiri.

Beliau berkata, pengundi luar juga menjadi faktor kekalahan kepada Pas apabila mereka tidak pulang mengundi.

"BN telah menambah undi tetapi Pas jatuh jumlah undinya. Ini menunjukkan pengundi luar tidak pulang kerana kebiasaan undi luar akan mengundi Pas," katanya.

Menurutnya, tidak hanya itu, tindakan kepimpinan Pas yang menghentam PKR dalam Muktamar Tahunan Pas ke-60 baru-baru ini juga dilihat rakan komponennya itu sebagai sesuatu yang mengecewakan.

"Kerana itu mereka (PKR) tidak sama-sama berkempen. Jika PKR berkempen, sudah pasti jumlah majoriti dapat dikurangkan," katanya.