• Hasan Mohamed Ali Hasan Mohamed Ali
1 / 1
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyifatkan sikap buli dua parti komponen PR terhadap Pas bukan perkara baharu.

Malah katanya, Pas bukan sahaja dibuli pihak luar tetapi juga oleh ahli parti sendiri.

"Ada pimpinan tertinggi Pas yang berani menyangkal kenyataan presiden sendiri yang mana perkara sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Saya lihat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah-olah menghadapi tekanan hebat dari dalam dan luar dalam masa sama," katanya, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang disiarkan dalam Sinar Harian semalam, bahawa Pas menjadi mangsa buli DAP dan PKR.

Nik Mohamad Abduh meluahkan pendapat beliau itu melalui laman Facebook beliau, kelmarin.

Menceritakan keadaan Pas sejak penggabungan ketiga-tiga parti itu pada 2008, Hasan berkata Pas dilihat sukar membuat keputusan dan terpaksa mengikut rakan parti yang lain.

"Pas sebelum ini merupakan parti yang cukup kuat. Ia jelas berlandaskan asas perjuangan teguh yang mahu melihat negara ini ditadbir dengan nilai-nilai Islam sebenar tanpa membelakangkan kaum lain.

"Sejak diterajui presidennya Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor, tiada siapa yang boleh membuli Pas. Tetapi sebaliknya berlaku pada zaman Abdul Hadi. Dahulu, semua kepala presiden 'sejuk' sahaja, kalau ada masalah atau isu-isu semasa, presiden ada kuasa bercakap,
dan kata-katanya diterima baik semua ahli dan juga dihormati orang luar. Tetapi tidak lagi hari ini," katanya.

Malah Hasan berkata, beliau turut melalui pengalaman dibuli sehingga dipecat daripada Pas pada 2012.

"Lapan tahun saya berada di Selangor, memegang jawatan sebagai exco kerajaan negeri, Pesuruhjaya Pas dan Naib Presiden Pas selama tiga penggal.

"Saya perjuangkan isu Islam, namun suara saya tidak didengar. Pimpinan Pas ketika itu lebih mendengar kata-kata daripada parasit dalam parti sahaja," katanya.

Ditanya sama ada Pas perlu keluar daripada PR, Hasan berkata perkara utama yang perlu dilakukan Pas terlebih dahulu adalah membuang golongan yang digelarnya sebagai parasit dalam parti itu pada pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 2015.

"Sama ada presiden (Pas) dan (Majlis Syura) Ulama Pas tahu atau buat-buat tidak tahu, (parasit) inilah sebenarnya yang boleh membinasakan Pas.

"Golongan parasit boleh melumpuhkan Pas kerana mereka tidak lagi menyokong presiden tetap lebih kepada pemimpin parti lain. Jadi, saya melihat perkara ini semakin serius dan perlu diperbetulkan," katanya.