• Ahmad Fadhli Ahmad Fadhli
1 / 1
KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan sifatkan desakan DAP agar PR menyatakan pendirian tolak hudud sebagai kenyataan tidak matang, malah lebih kepada provokasi terhadap Pas.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, DAP tentunya menyedari pendirian Pas dalam isu hudud sebelum menyatakan persetujuan untuk bersama-sama di dalam gabungan parti pembangkang.

“Undang-undang hudud dibentangkan di Dun Kelantan sejak 1993 iaitu 15 tahun sebelum wujudnya PR pada 2008.

“Di dalam hal ini iaitu desakan agar PR tolak hudud, Pas tidak perlu melayan provokasi, malah bagi Pemuda Pas, kerajaan negeri perlu mara ke hadapan bagi memastikan undang-undang ini dapat dikuatkuasakan apabila tiba masanya,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, hudud adalah antara agenda teras perjuangan Pas khususnya di Kelantan, justeru pihaknya mengharapkan kerajaan negeri tidak berganjak dalam isu itu.

“Pengumuman Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengenai Sidang Dun Khas untuk membincangkan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kerajaan Kelantan (Pindaan) 2014 pada 29 Disember ini adalah langkah tepat,” katanya.

Sebelum ini, DAP dan PKR menentang hasrat kerajaan Kelantan membawa usul hudud ke Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember ini.

Bahkan DAP menegaskan semua 38 ahli parlimen parti itu telah menyatakan secara terbuka tidak akan menyokong sebarang usul rang undang-undang persendirian yang mahu dibentangkan Pas dalam Dewan Rakyat.

Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapatkan maklum balas daripada Mursyidul Am Pas, Datuk nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai isu berkenaan gagal.