• Ambang 2015
1 / 1
SHAH ALAM – Hasil perbincangan antara penganjur bersama sambutan Ambang 2015 Putrajaya, Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan penganjur utamanya, Kumpulan AmBank, program tersebut sah dibatalkan.

Pengumuman tersebut dibuat PPj menerusi laman sosial Facebook rasmi, jam 6 petang tadi.

“Setelah perbincangan diadakan di antara Perbadanan Putrajaya dan Kumpulan AmBank, dengan ini dimaklumkan bahawa program sambutan Ambang 2015 Putrajaya kini sah dibatalkan,” kata kenyataan ringkas itu.

Lewat petang tadi, Sinar Harian Online melaporkan, PPj sedang cuba berbincang dengan Kumpulan AmBank dalam rangka untuk membatalkan sambutan berkenaan.

“Perbadanan Putrajaya prihatin terhadap semua pandangan dan musibah yang menimpa Malaysia.

“...akan tetapi program sambutan Ambang Tahun Baru Putrajaya 2015 ini adalah program Kumpulan AmBank dan pihak Perbadanan Putrajaya sedang dalam usaha untuk berbincang dgn pihak penganjur bagi membatalkan sambutan Ambang 2015 ini,” katanya.

Acara sambutan mengira detik tahun baharu yang bertempat di Dataran Putrajaya itu dijadualkan bermula dari 8.30 malam pada 31 Dis sehingga 1 pagi 2015.

Ekoran bencana alam yang sedang melanda negeri-negeri di Pantai Timur, orang ramai mendesak agar sambutan ambang tahun baru dibatalkan.

Hari ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan sebarang acara konsert atau yang berunsur hiburan yang dirancang kerajaan negeri itu atau mana-mana agensi sempena sambutan tahun baru ini, dibatalkan serta-merta.