• Mohamad Hasan
1 / 1
SEREMBAN - Dun Negeri Sembilan hari ini meluluskan Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980 (Pindaan 2014) yang menyaksikan kenaikan elaun Menteri Besar, Yang Dipertua Dun dan Adun berkuat kuasa 1 Januari depan.

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Jalaluddin Alias (BN-Pertang).

Mohamad berkata, semakan secara menyeluruh ke atas saraan Adun dan Anggota Pentadbiran negeri kali terakhir dilaksanakan pada tahun 1992 dan beberapa pelarasan saraan Adun dan Anggota Pentadbiran dibuat kali terakhir pada tahun 2005.

Menurutnya, dengan kenaikan itu, Adun akan menikmati elaun tetap berjumlah RM8,954, Yang Dipertua Dewan pula sebanyak RM10,888, Menteri Besar (RM19,175), Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (RM10,888) dan Setiausaha Politik (RM5,000).

"Pelaksanaan cadangan semakan saraan anggota terbabit melibatkan pertambahan implikasi kewangan yang dianggarkan berjumlah RM3 juta setahun.

"Semakan ini juga melibatkan penyelarasan semula pencen Adun, Yang Dipertua Dewan dan Anggota Pentadbiran yang telah bersara di mana memberi implikasi kewangan tambahan sebanyak RM4.84 juta setahun bagi menampung bayaran pencen mereka," katanya. - Bernama