• Suhaizan Suhaizan
1 / 1
SHAH ALAM - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mempolemikkan isu hudud di khalayak ramai hanya akan menambahkan prejudis dan menghakis hormat rakyat kepada PR.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat menegaskan pemimpin PR perlu fokus dan tidak terjebak untuk memanjangkan polemik sedia ada.

"Pemuda Pas Pusat berpendirian bahawa DAP dan PR perlu fokus terhadap usaha memperkukuh PR dan membulatkan titik persamaan yang menjadi tekad bersama.

"Gesaan yang dibuat beliau tentang isu hudud itu sama ada sedar atau pun tidak, telah kembali menjadi 'bola tanggung' kepada Umno dan BN untuk memanipulasi isu ini," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam yang memberi amaran kepada pimpinan PR supaya bertegas untuk tidak melaksanakan hukum hudud di negara ini jika menang pada PRU14.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isu hudud: PR kena tegas jika mahu Putrajaya]

Guan Eng juga menegaskan kepimpinan PR perlu menyatakan pendirian yang jelas dan tegas dalam hal tersebut bagi memenuhi aspirasi pengundi khususnya dari Sabah dan Sarawak.

Suhaizan berkata lagi, Pas dan DAP sepatutnya menerima konsep 'setuju untuk tidak bersetuju' (agree to disagree) dalam isu hudud itu.

"Sewajarnya pada fasa ini, seluruh anggota PR perlu fokus untuk berkhidmat dengan lebih baik dan memperbaiki hubungan sesama taulan dalam koalisi politik yang menjadi harapan rakyat Malaysia ini," katanya lagi.