• Pasukan Malaysia bergambar kenangan selepas menjalani sesi latihan terakhir menjelang final Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Rajamangala di Bangkok semalam. Pasukan Harimau Malaya akan bertemu pasukan Thailand pada final pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam ini. - Foto Bernama Pasukan Malaysia bergambar kenangan selepas menjalani sesi latihan terakhir menjelang final Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Rajamangala di Bangkok semalam. Pasukan Harimau Malaya akan bertemu pasukan Thailand pada final pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam ini. - Foto Bernama
1 / 1
HARIMAU Malaya perlu mengekalkan rentak permainan sama ketika menewaskan Vietnam dalam perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2014, Khamis lalu untuk final pertama, malam ini, menentang Thailand.

Bekas pemain kebangsaan, Hassan Sani menyifatkan aksi pemain-pemain Malaysia di Stadium My Dinh di Hanoi itu menunjukkan peluang untuk skuad Harimau Malaya mencari gol bekalan selesa di tempat lawan.

“Yang penting semangat pemain. Bagaimana mereka melawan Vietnam di tempat orang, ulangi lagi begitu.

“Insya-ALLAH kalau mereka main begitu, Malaysia ada harapan,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.

Malaysia bakal menentang Thailand malam ini di Stadium Rajamangala, Thailand.

Menurutnya, Malaysia harus cuba menjaringkan gol sebanyak yang mungkin di tempat lawan dan mengelak daripada tewas.

“Kalau boleh gol awal dan kalau dapat Malaysia kena skor dulu sebab jaringan di tempat lawan begitu penting.

“Sebaik-baiknya, lebih banyak (gol) lebih bagus tapi tengoklah keadaan. Sebab bola ini bulat, jadi, tak boleh nak cakap. Apa yang penting, jangan kalah saja. Seri pun tak apa,” katanya.

Sementara itu, Salim Mahmud Muhaidin turut bersetuju agar skuad Harimau Malaya mengulang kembali semangat mahu menang ketika menentang Vietnam, minggu lalu.

“Peluang untuk Malaysia itu ada. Kalau kita lihat bagaimana permainan skuad negara di Vietnam tempoh hari, saya rasa tak ada sebab untuk mereka tak dapat tewaskan Thailand.

“Dengan strategi yang Dollah Salleh buat itu (ketika lawan Vietnam), mungkinlah kita dapat menewaskan Thailand di negara itu sendiri. Cuma, saya rasa semangat pemain-pemain Malaysia ini tinggilah sekarang. Itu satu kelebihan buat kita,” katanya.

Mengimbas kembali perlawanan sebelum-sebelum ini, Salim mengingatkan bahawa sejarah menyatakan bahawa agak sukar Malaysia menewaskan Thailand di negara itu.

Namun, menurutnya, perubahan semangat yang ditunjukkan pemain kebelakangan ini boleh menafikan sejarah tersebut.

“Kalau lihat dalam sejarah-sejarah, kita nak menang di tempat lawan...di Thailand itu susah sedikit. Saya rasa, seri...kalau lihat pada sejarahlah.

“Memang dari dulu lagi, Malaysia nak menang di Thailand agak sukar sedikit. Tapi kalau lihat pada semangat pemain sekarang yang tinggi...mungkin boleh menang 1-0,” katanya.