• Mahfuz Omar
1 / 1
POKOK SENA - Pas Kedah akan mendedahkan nama syarikat yang menerima projek landskap di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah bernilai RM2.9 juta dalam masa terdekat.

Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendedahan itu dibuat selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir enggan mendedahkan nama syarikat berkenaan.

“Sebelum ini (dia) Mukhriz telah mendedahkan bahawa syarikat yang mengubah suai kediaman rasmi adalah milik abang saya.

“Saya tidak menafikan perkara itu, tetapi saya juga mahu Mukhriz mendedahkan siapa kontraktor yang menerima projek landskap bernilai RM2.9 juta,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, perkara itu perlu bagi membolehkan masyarakat mengetahui siapa yang menguruskan kedua-dua projek berkenaan.

“Saya telah bagi dia tempoh seminggu untuk dedahkan perkara ini, tetapi dia masih belum mendedahkan nama kontraktor berkenaan.

“Jadi saya sendiri akan dedahkan nama kontraktor yang menerima projek tersebut pada Selasa ini,” katanya.

Sebelum ini, Mukhriz pada Sidang Dun lalu mendedahkan bahawa syarikat yang menerima projek ubah suai kediaman rasmi MB Kedah bernilai RM1.4 juta adalah milik abang Mahfuz.

Bagaimanapun, Mahfuz juga menggesa supaya nama syarikat yang menerima projek ubah suai landskap bernilai RM2.9 juta di kediaman rasmi MB juga didedahkan.