• Zainal Abidin Osman Zainal Abidin Osman
1 / 1
GEORGETOWN - Anak tempatan menjadi pilihan Umno Pulau Pinang untuk diletak sebagai calon BN pada PRK Parlimen Permatang Pauh, kata Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
  
Beliau berkata, Umno Negeri itu akan mengemukakan senarai pendek nama-nama calon yang memiliki kelayakan akademik dan tinggal di kawasan itu untuk pertimbangan pucuk kepimpinan BN.
  
"Mereka adalah daripada muka-muka baharu yang sering berdamping dengan masyarakat setempat...buat masa ini nama-nama itu belum diminta untuk dikemukakan secara rasmi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
  Beliau berkata, nama senarai calon dibuat selepas perbincangan dengan Umno bahagian Permatang Pauh.
  
Zainal Abidin berkata, pertembungan di Permatang Pauh adalah suatu tugas yang getir memandangkan kawasan itu adalah kubu kuat PKR.
  
"BN boleh dianggap sebagai 'underdog' (bukan pilihan), namun begitu kami bersedia untuk memberikan tentangan yang hebat," katanya.
  
Beliau yakin pengundi di Permatang Pauh akan membuat pilihan terbaik dan melakukan suatu perubahan setelah 17 tahun diwakili anggota parlimen dari PKR.
  
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mengumumkan bahawa Anwar hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen pada 16 Mac lepas selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon melalui keluarganya pada 24 Februari lepas.
  
Anwar, selaku Ketua Pembangkang, kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
  
Sementara itu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata SPR akan mengadakan mesyuarat khas berhubung PRK Parlimen Permatang Pauh pada 8 April ini.
  
Menurutnya, mesyuarat itu akan membincangkan tarikh kekosongan kerusi P.44 Permatang Pauh, hari penamaan calon, hari pengundian awal dan hari pengundian biasa. - Bernama