• Tuan Ibrahim Tuan ManTuan Ibrahim Tuan Man
 1 / 1 
SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempertikaikan suasana perbahasan hukum yang timbul selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan di negara ini.

Menurutnya, halal haram sesuatu perkara itu perlu ditetapkan sebelum ia dilaksanakan bukannya dipertikai selepas dilaksanakan.

“Hari ini media sibuk membahas apakah GST halal atau haram? Yang peliknya di Malaysia ini, hukum dibahas setelah ia dilaksanakan. Buat dulu, selepas itu baru hisab itu satu dosa atau pahala. Sepatutnya sesuatu hukum dihadamkan oleh kerajaan sebelum sesuatu dilaksanakan.

“Persoalan sekarang apakah kalau ia haram, maka kami rakyat tidak dikenakan GST atau kami haram membelinya kerana GST haram? Atau apakah kalau ia halal, maka ini berita gembira kepada pemerintah untuk terus menindas dan membebankan rakyat?

“Atau apakah kalau ianya haram kerajaan akan menarik balik GST? Kalau tidak, apa perlunya dibahas sekarang apakah GST itu halal atau haram?,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman Facebooknya.

Dalam pada itu, beliau juga mempertikaikan badan-badan berkuasa lain yang tidak membuat sebarang teguran kepada pemimpin negara atas kemewahan dan pemborosan yang berlaku.

“Kenapa tiada teguran Majlis Fatwa atau badan berautoriti kepada Perdana Menteri dan menteri kabinet agar tidak membazir, menghentikan kemewahan melampau pemimpin negara dan keluarga, tidak melabur dalam perkara yang merugikan dana rakyat serta menghentikan pemborosan?

“Kantung negara mana sekalipun akan kering dengan sikap boros melampau ini. Lalu, keluarlah fatwa halal mengenakan cukai pada rakyat. Apakah ini cara kita mengurus pandangan syarak? Apakah agama hanya menjadi alat bagi membenarkan tindakan kerajaan kepada rakyat?

“Keluarlah apa kenyataan sekalipun tetap tidak mengubah hakikat bahawa rakyat marhaen kini mengeluh kesempitan hidup. Cuma kami ingin tanya bila pula teguran untuk pemimpin?” katanya.