• PKR tuntut penjelasan Pas Permatang PauhWan Azizah bergambar bersama dengan penduduk Pangsapuri Permata, Bandar Perda selepas majlis minum petang.
 1 / 1 
PERMATANG PAUH - PKR akan berjumpa kepimpinan Pas Permatang Pauh bagi mendapat penjelasan mengenai tuntutan mereka agar memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan yang tidak menyokong pelaksanaan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan Hudud.

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hairan dengan tuntutan disuarakan Yang Dipertua Pas Permatang Pauh, Omar Hassan kerana sebelum ini pernah bertemunya semasa pelancaran jentera PKR Jumaat lalu.

Beliau berkata, dalam pertemuan yang turut disertai beberapa pimpinan Pas Pusat, Omar menyatakan sokongan terhadap PKR bagi menghadapi PRK Permatang Pauh.

"Sebelum ini dia (Omar) sendiri menyatakan sokongan mahu membantu PR dalam PRK Permatang Pauh.

"PKR akan bertemu mereka bagi mendapatkan penjelasan dan cerita sebenar," katanya kepada media selepas menghadiri minum petang bersama penduduk Pangsapuri Permata, Bandar Perda di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas Permatang Pauh bagi kata dua pada PKR]

Turut hadir timbalannya, Azmin Ali dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Sementara itu, Azmin berkata, tidak timbul soal tarik balik kenyataan isu Hudud sebaliknya PKR tidak mahu terburu-buru mengeluarkan kenyataan sebelum mendapat kesahihan berita mengenai desakan Pas Permatang Pauh.

 "Ketika pelancaran jentera tempoh hari kepimpinan Pas yang diwakili Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan DAP juga hadir. Malah Omar turut bersama dan memberi pengakuan yang cukup kuat untuk membantu PRK Permatang Pauh nanti.

"Kita akan dapatkan penjelasan terus dari Pas dalam masa terdekat," katanya.

Menurutnya, walaupun isu berkenaan timbul ketika PR bakal menghadapi pilihan raya kecil tidak lama lagi namun ia langsung tidak menjejaskan hubungan semua parti komponen.

"Kami berhadapan dengan pelbagai ujian sejak 17 tahun lalu namun semua perkara yang berbangkit dapat diselesaikan dengan baik.

"Itulah kekuatan PR walaupun kita ada beberapa perbezaan pendapat namun masih boleh duduk berbincang dan akhirnya bertindak atas konsesus dan kesepakatan," katanya.