• Rafizi Ramli Rafizi Ramli
1 / 1
KUALA LUMPUR - Caj perkhidmatan atau service charge yang dikenakan peniaga restoran dan hotel pada masa ini kepada pengguna perlu dihapuskan segera kerana budaya tips itu bukan budaya Malaysia.
 
Rafizi Ramli (PKR-Pandan) menegaskan caj perkhidmatan itu yang diamalkan sekarang membebankan pengguna kerana ia diasingkan daripada harga jualan.
 
"Saya berpendapat caj perkhidmatan ini perlu dihapuskan terus kerana ia harga yang ditetapkan oleh peniaga, ia sangat berbeza dengan tips di luar negara kerana tips ini diasingkan daripada jumlah perolehan atau jualan peniaga.
 
"Saya selalu juga audit restoran dan lain-lain di London dahulu, memang ada undang-undang yang khusus yang menetapkan bagaimana mengendalikan tips yang perlu diasingkan daripada harga, itu tidak ada di Malaysia," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) baru-baru ini yang menghalang peniaga daripada mengenakan caj perkhidmatan sehingga 10 peratus jika mereka tidak mempunyai perjanjian dengan kakitangan mereka.
 
Beliau berkata lagi, kerajaan perlu mewujudkan undang-undang untuk menghalang peniaga daripada mengenakan caj perkhidmatan itu dengan segera kerana arahan kerajaan itu boleh dilanggari sesiapa sahaja.
 
"Sepatutnya kerajaan perlu buat peraturan secepat mungkin menghalang peniaga dan restoran daripada mengenakan caj perkhidmatan kerana ia sepatutnya dimasukkan dalam harga.
 
"Tindakan itu sepatutnya telah dilakukan oleh kerajaan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri sudah lama, hanya sekarang apabila ada GST, baru isu ini timbul," katanya lagi.