• Razman Zakaria Razman Zakaria
1 / 2
IPOH - Sebarang tindakan terhadap lima Adun Pas yang berpakaian hitam semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-3 Dun Perak ke-13 pada 31 Mac lalu hanya akan diketahui selepas mesyuarat Pas Negeri hari ini.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut berhubung perkara itu selain meminta semua pihak dalam parti supaya tidak membuat sebarang spekulasi liar mengenainya.

“Semuanya bergantung kepada pimpinan yang bermesyuarat hari ini (semalam) dan saya yakin keputusan tentang perkara itu akan diketahui selewat-lewatnya jam 10 malam ini (semalam),” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan yang akan diambil itu akan menjurus ke arah permohonan maaf kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.“Itu mungkin antara langkah yang diambil oleh pihak kami,” katanya.

Sebelum ini, Razman memaklumkan akan memanggil Adun Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Adun Selinsing, Husin Din; Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain; Adun Sungai Rapat, Radzi Zainon dan Adun Semanggol, Mohd Zawawi Hassan untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tindakan mereka itu.

Razman berkata, pihaknya juga akan membincangkan tentang penolakan secara terbuka Dewan Ulama Pas Perak terhadap kredibiliti dan kepimpinan Muhammad Nizar berhubung pendiriannya bersama PR Perak berkenaan hudud.

“Perkara itu juga akan diketahui hari ini dan ianya lebih melibatkan pendirian Pas Perak itu sendiri,” katanya.