• Abdul Hadi Awang Hadi Awang
1 / 1
KUALA LUMPUR - Tidak perlu cepat 'melatah' kerana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya akan membentangkan Rang Undang-undang bagi meminda akta mahkamah syariah, bukan hudud.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad berkata, pembentangan tersebut dilakukan untuk dimuat dalam senarai aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

"Rang undang-undang yang akan dibentangkan hari ini hanya melibatkan bidang kuasa mahkamah syariah yang dirasakan perlu dipertingkatkan.

"Sekarang peruntukan maksimum mahkamah syariah hanya meliputi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan. Had tersebut perlu dipertingkatkan," katanya kepada Sinar Online hari ini.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang melahirkan rasa terkejut apabila  Abdul Hadi bertindak untuk membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) pindaan 2015 di Parlimen.

Beliau menyifatkan bahawa Abdul Hadi mungkir janji apabila pemimpin Pas itu tidak mengotakan janjinya pada Majlis PR Februari lalu tidak membawa Rang Undang-Undang itu ke Parlimen.

"Abdul Hadi tidak mengotakan janjinya pada Majlis PR untuk tidak bawa Rang Undang-Undang ini ke Parlimen," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam turut menyanggah dakwaan bahawa pindaan rang undang-undang tersebut berupaya membuka ruang kepada pelaksanaan hudud.

"Tidak semestinya. Apa yang dilakukan dan diusulkan hanya untuk menambah had hukuman penjara di mahkamah syariah, itu sahaja," katanya lagi.